Malaysia Dateline

Dulu makan nasi dengan garam, kini sudah dapat pekerjaan

Marsyila terharu kerana penderitaannya sebelum ini mendapat perhatian

“Nak menangis tapi dah tak ada air mata. Terharu sangat, hari ini rasa macam mimpi apabila pihak Yayasan Wilayah Persekutuan bagi bantuan pekerjaan,” demikian luah Marsyila Zakaria, 35.

Marsyila sebelum ini pernah melalui pengalaman perit dan memilukan apabila keluarganya hanya makan nasi berlaukkan garam ketika bersahur, demi mengisi perut daripada kelaparan.

Ibu kepada lapan cahaya mata (seorang meninggal dunia) itu, kini boleh tersenyum lebar dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan serta meraikan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Alhamdulillah pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi pekerjaan yang lokasinya di bawah rumah saya sahaja. Memang senang sangat untuk saya ulang-alik tengok anak di rumah sebab dekat.

“Syukur sangat sebab saya akan mempunyai gaji nanti. Dulu kalau kemas rumah dan membasuh, sehari boleh dapat RM30. Kalau tak ada, saya terpaksa basuh pakaian orang, dapat RM5 kalau baju itu penuh satu begi Ikea.

“Ya Allah, tak tahu nak cakap macam mana. Rasa berseri semula hidup ini. Macam-macam bantuan datang kepada saya sekeluarga.

“Dengan adanya pekerjaan, saya rasa lebih yakin untuk meneruskan kehidupan. Bukan apa, saya jenis tak suka meminta-minta. Kalau boleh saya nak usaha sendiri tanpa menyusahkan pihak lain,” katanya sambil tersenyum lebar ketika ditemui Malaysia Dateline di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya menawarkan pekerjaan kepada Marsyila sebagai penyelia di Pusat Komuniti yang terletak di bawah kediamannya.

Marsyila ceria bersama antara tujuh anaknya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini

 

Tidak jauh

Beliau berkata, ibu kepada lapan anak itu kini tidak perlu lagi berjalan jauh untuk bekerja atau pun mencari pekerjaan untuk meneruskan kehidupan.

“Kita tawarkan gaji RM25 sehari dengan masa bekerja selama empat jam. Sebulan mungkin dia boleh dapat dalam RM600 hingga RM650 untuk menampung keluarga.

“Puan Marsyila hanya perlu hadir untuk menjaga pusat pembelajaran di bawah PPR Desa Tun Razak. Ini merupakan kemudahan kita dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dia meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak.

“Kalau kita bagi wang tunai, ia akan berkurangan. Jadi kami mengambil insiatif memberikannya pekerjaan yang tidak jauh dari rumahnya,” katanya lagi.

Selain pekerjaan, YWP turut membantu meringankan beban keluarga berkenaan dengan menyalurkan bantuan dari segi makanan (RM500), wang tunai
(RM500), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebanyak RM1,600 mewakili lapan anak dan juga beg persekolahan.

Memetik Malaysia Gazette, sejak suami Marsyila ditahan di Pusat Pemulihan pada Ogos tahun lalu dan akan menjalani tempoh pemulihan selama dua tahun di sana, beliau dan anak-anaknya terpaksa menjalani kehidupan yang lebih susah.

Malah, mereka anak-beranak pernah makan nasi berlaukkan garam selama beberapa hari kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Marsyila juga terpaksa tebalkan muka mengetuk pintu rumah jiran untuk meminta telur bagi menukar selera anak-anaknya. Telur itu dihancur-hancurkan supaya semua anaknya dapat merasa.