Dulu Najib potong subsidi, kini BN anjur jualan murah

Dulu Najib potong subsidi, kini BN anjur jualan murah

 

Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Rafizi Ramli (PKR-Pandan) semalam menyelar pentadbiran kerajaan diketuai Najib Razak (BN-Pekan) yang menghapuskan subsidi sejumlah barangan asas hingga mengheret rakyat kepada beban kenaikan melambung harga makanan dan kos sara hidup.

Sebaliknya, menjelang pilihan raya, Najib dan ahli parlimen BN lain berlumba-lumba pula menonjolkan kerajaan kononnya prihatin dengan rakyat dengan menganjurkan karnival jualan murah dan pemberian minyak percuma.

“Sekarang, Yang Amat Berhormat Pekan juga menjulang subsidi sedangkan pada awal pentadbiran beliau, dia juga mengisytiharkan perang terhadap subsidi.

“Kegilaan terbaru Pekan dan ahli-ahli dewan lain menganjurkan karnival jualan murah di kerusi-kerusi parlimen yang BN rasa kalah. Ada yang jual ikan dan beras murah.

“Di Selangor ada jual ikan percuma. Saya dimaklumkan tak bayar pada pembekal. Dulu Yang Amat Berhormat Pekan dan kerajaan mencemuh subsidi. Sekarang berlumba-lumba cuba nak tunjukkan beri subsidi dan menguntungkan orang kaya sahaja.

“Sekarang ini, ada buat kempen cuba bagi petrol percuma untuk menang pilihan raya.

“Saya sebenarnya menggalakkan semua menteri dan ahli dewan rakyat dalam tempoh enam minggu sebelum pilihan raya bagilah beras, gula, garam, sayur, ikan, minyak percuma untuk menang.

“Tak mengapa kerana yang menerima rakyat. Cuma saya beri amaran, pakai duit sendiri. Jangan pakai duit peruntukan kementerian dan jabatan-jabatan,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Najib telah mencipta sejarah sebagai perdana menteri pertama menghapuskan subsidi minyak serta memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di negara ini.

“Semasa Pekan mula jadi perdana menteri mengisytiharkan perang terhadap subsidi, gah menjanjikan penghapusan subsidi untuk melunakkan kritikan pelabur-pelabur antarabangsa berkenaan penarafan hutang.

“Saya faham menteri kewangan perlu menjaga penarafan hutang tetapi kegilaan pentadbiran Pekan menjaga penarafan hutang negara dengan mengambil jalan memotong subsidi menekan rakyat agar membolehkan kerajaan berhutang lebih banyak. Itu satu tindakan sangat tidak bertanggungjawab.

Rafizi menegaskan dalam tempoh Najib menjadi perdana menteri, subsidi barangan keperluan asas seperti beras, gandum, gula dan minyak masak dihapuskan.

“Yang Amat Berhormat Pekan juga menaikkan kadar elektrik dalam tempoh enam tahun lalu menjadi perdana menteri pertama menghapuskan subsidi minyak dalam negara kita.

“Dan Pekan telah mencipta sejarah sebagai perdana menteri memperkenalkan GST. Tindakan-tindakan ini yang menyebabkan harga barang melambung, bukan berita palsu, bukan salah peniaga Cina, bukan kerana peniaga yang ambil kesempatan.

“Ia (kenaikan harga barang) adalah tindakan bersiri pentadbiran kerajaan menarik subsidi satu demi satu,” katanya sebelum memberi laluan kepada Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) untuk mencelah yang menyebut tentang penghapusan subsidi sebagai penyelarasan ekonomi manakala pelaksanaan skim bantuan membantu rakyat.

Sehubungan itu, Rafizi selanjutnya menjawab penghapusan subsidi yang kononnya sebagai satu keperluan menyelaraskan bantuan kepada rakyat hanya cantik di atas kertas.

“Sebaliknya, pemotongan subsidi itu telah memberi peruntukan yang lebih dengan sebahagian besarnya diheret ke peruntukan Pekan.

“Peruntukan yang lain untuk dibazirkan dalam projek-projek besar dan penanggungan hutang-hutang besar yang kita semua tahu salah satunya 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Bagaimana subsidi yang dipotong untuk mengheret peruntukan-peruntukan yang dulunya diberi secara terus kepada rakyat tetapi disimpan Perbendaharaan untuk projek membazir dan tidak memberi kesan kepada rakyat?” hujahnya lagi.

8.8
OVERALL SCORE
: 6.0
3 user votes x 9.7
CATEGORIES
TAGS