Malaysia Dateline

Dulu Pas keluar macam-macam dalil, sekarang?

Pas yang dahulu sentiasa membantah keras Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan, akhirnya dipersoalkan apabila ketika ini, kerajaan yang dianggotai mereka sendiri membuat perbelanjaan tanpa melalui proses perbahasan dan kelulusan Parlimen.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al Jundi mempersoalkan apakah sebenarnya peranan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengingatkan, sewaktu menjadi pembangkang, ahli-ahli Parlimen Pas termasuk Senator Siti Zailah semasa menjadi Ahli Dewan Negara, sangat menentang dan mengecam keras amalan dan pelaksanaan RUU Perbekalan Tambahan tersebut.

“(Dahulu) macam-macam dalil dan nasihat keluar. Adakalanya dewan persidangan seolah dijadikan medan kuliah dan ceramah agama. Begitulah usaha mereka.

“Strategi belanja dahulu baru minta kelulusan Parlimen ini akan sentiasa dibantah dan diulas keras oleh Pas,” Katanya dalam satu kenyataan.

Namun apa yang berlaku kata Aiman, memperlihatkan kerajaan PN yang dianggotai Pas sendiri turut membuat pelaksanaan sama, malah tanpa melalui proses perbahasan dan kelulusan Parlimen.

“Nah, kali ini kerajaan mereka sendiri iaitu PN telah membuat Perbelanjaan Tambahan yang bukan sedikit tanpa melalui proses perbahasan dan kelulusan Parlimen.

“Sangat jauh berbeda dengan amalan urustadbir baik beberapa buah ‘negara kafir’ yang mereka benci. Semua negara itu upaya menjalankan proses urustadbir baik, kemas dan teratur,” ujarnya.

Beliau mempersoalkan sama ada Pas di dalam PN hanya sebagai penumpang untuk ‘merai’ seberapa banyak hasil ghanimah yang sama sekali tidak menguntungkan ahli-ahli bawahan mereka.

Itupun katanya, hasil laba tersebut berpusat kepada beberapa individu dilantik memegang jawatan dalam gabungan itu.

“Ahli-ahli biasa di bawah dapat apa? Sudahlah prinsip perjuangan mereka tergadai, dipaksa pula berkawan dengan pihak yang separuh abad dikutuk dan dimusuhi.

“Halatuju Pas dalam kerajaan PN pun sehingga kini masih belum jelas,” ujarnya.

Malah katanya, hudud yang sebelum ini dilaungkan sebagai ‘Nyawa Pas’ sehingga mewujudkan perpecahan besar dalam parti itu pada tahun 2015, sehingga kini juga masih belum menampakkan jalan ke arah pelaksanaan.

“Ketua Pemuda Pas Pusat yang sudah mengadap Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, sudahkah menyerahkan beberapa proposal tegas terhadap banyak isu yang mereka tidak puas hati terhadap Menteri Pengakutan era pentadbiran PH sebelum ini?

“Uniform patuh syariah dan hidangan arak dalam penerbangan MAS sudah selesai?,” soalnya.