‘Dulu pasal kertas warna, ayah kena tengking’ – Ini penyesalan seorang anak yang kini bergelar bapa

Oleh ARIF ATAN

Hanya kerana tersilap beli kad manila bukannya kertas warna, ayah kena tengking. Itu penyesalan seorang anak yang kini bergelar bapa.

Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam beberapa ayat al-Quran, Allah menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Ikuti perkongsian KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN ini mengenai pengorbanan seorang ayah:

Aku tak tahu dia masih ingat atau tidak, tapi aku tak pernah lupa.

Malam itu, aku sangat marah dan kecewa. Aku dah terangkan panjang lebar apa yang patut dibeli tapi dia pulang bawa benda lain pula.

Sakitnya hati! Benda mudah pun dia tak boleh bezakan. Langsung tak boleh harap orang tua ni!

“Along nak kertas warna! Pergi beli kad manila buat apa?!” tengking aku pada Ayah.

Aku darjah 3 pada masa itu, cikgu pendidikan seni arahkan kami bawa kertas berwarna untuk aktiviti kolaj. Pendidikan seni adalah subjek kegemaran aku.

Aku ambil serius tentang subjek ini. Aku sentiasa pastikan aku dapat markah cemerlang. Jadi, kalau tak ada kertas warna esok, macam mana aku nak dapat markah tinggi?

Aku merasakan seolah-olah ayah sengaja sabotaj aku sebab aku suka pendidikan seni. Iyalah, pendidikan seni ni apa gunanya kan? Matapelajaran picisan.

Jadi, penggiat seni bukan boleh banggakan Ayah. Oleh itu, terbit kebencian yang begitu mendalam terhadap Ayah.

Itulah yang aku fikirkan ketika itu.

Sampai sekarang aku tak dapat lupakan peristiwa tersebut, benar-benar meninggalkan parut di hati, dan ia akan berdarah kembali andai memori itu datang bertamu.

Namun, bukan kebencian yang menoreh kembali luka lama berkenaan, tetapi penyesalan.

Apalah yang merasuk aku malam itu sehingga aku meninggikan suara kepada Ayah. Bila dah dewasa ni, baru aku faham kenapa Ayah tak faham apa yang aku nak.

Budak-budak, bahkan remaja kalau menerangkan sesuatu, kaki di kepala dan kepala di kaki. Memang mengelirukan. Berapa kali kita pernah beranggapan Ayah tak faham kita?

Selalu? Entah-entah setiap kali tu, kehendak dan keinginan kita yang sebenarnya celaru.
Rasanya, tak ada Ayah dalam dunia ni yang akan sabotaj anaknya sendiri.

Mereka akan mendorong apa sahaja impian kita, asalkan ia yang baik-baik belaka. Jika Ayah tak benarkan sesuatu, dia cuma nak lindungi kita daripada merosakkan diri sendiri. Pernah kita hargai?

Sejujurnya, ketika itu aku yang lambat beritahu Ayah bahawa aku perlukan kertas warna, walaupun sudah dipesan cikgu seminggu lebih awal.

Pukul 9 malam, hari sebelum kelas itu baru aku beritahu. Kalau meminta, kita lupa pertimbangkan susah senang nak dapatkan benda berkenaan.

Malam tu, Ayah dapatkan juga kertas warna untuk aku. Aku tak tahu di mana dia beli kertas warna malam-malam buta begitu. Esok pagi aku tengok dah ada kertas warna satu peket dalam beg sekolah aku.

Itu insiden yang aku ingat, yang aku tak ingat entah berapa banyak. Mungkin banyak kali Ayah dah makan hati.

Seorang Ayah jarang tunjukkan kekecewaannya pada anak-anak, selalunya dia luahkan pada Ibu kita. Jadi, kita kadang-kadang tak perasan kita dah guris hatinya. Tak percaya tanya Ibu kita.

Saya sekarang dah jadi seorang ayah. Saya dah mula hadapi apa yang ayah saya pernah hadapi, dan saya mula faham perkara-perkara yang tak pernah faham sebelum ini.

Ia membuatkan saya menghargai seorang pengorbanan seorang ayah.

Baca juga Auto panik masa ‘roadblock’ – Tidak buat akak pakai ‘helmet’ meow ini

Baca juga Jangan sesuka hati cium bayi orang, bimbang terbagi penyakit pula