Malaysia Dateline

‘Dulu PH konon tidak bela Islam, kini Pas dan agamawan PN mengapa membisu?’

Sikap membisu Pas yang kini menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta agamawan tertentu berhubung kontroversi perkahwinan Illi Najwa Saddique, 27, dipersoal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dari Pas sepatutnya memberi pandangan membantu Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

“Pas sebelum ini lantang mengecam pihak lain termasuk kerajaan PH (Pakatan Harapan) kononnya tidak ‘membela’ Islam.

“Sekarang setelah Pas menjadi kerajaan dengan Presiden Pas, Timbalan Presiden serta Setiausaha Agungnya semua berstatus menteri, apakah pendirian mereka dalam isu perkahwinan Illi Saddique dan Manpreet Singh mengikut ritual perkahwinan agama Sikh di beritakan di rumah ibadat Sikh?” katanya.

Tular di media sosial rakaman perkahwinan Illi Najwa dengan Manpreet, 28, yang dikatakan berlangsung di kampung halaman Kapten Hoki India itu di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab pada 16 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, video perkahwinan tersebut telah menunjukkan Illi Najwa dan suaminya menyembah sujud mengikut cara agama Sikh.

“Televisyen India juga menonjolkan acara tersebut dengan mengulangi aksi sembah sujud tersebut empat kali seolah-olah ianya satu kejayaan menarik seorang yang berasal Islam menyertai majlis agama Sikh.

“Adakah ulama-ulama kerajaan Melayu Islam Perikatan Nasional yang begitu ramai akan terus memilih untuk menjadi bisu di tengah-tengah kontroversi yang diperkatakan luas ini?” bidasnya.

Sehubungan itu, Raja Kamarul yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berpendapat Menteri Agama dan Presiden Pas juga perlu menentukan kesan acara sembah sujud tersebut ke atas Illi Najwa.

“Tindakan berdiam diri berisiko mengundang perkara serupa berulang pada masa akan datang sekali gus akan mencemarkan imej agama Islam.

“Menteri Agama, Presiden Pas dan parti Pas sendiri bersama kerajaan Melayu Islam Perikatan Nasional yang kononnya pembela Islam berdiam diri di dalam terlalu banyak isu melibatkan Islam,” selarnya.

Beliau menambah nama asal Illi Najwa telah mula dipanggil dengan nama Navpreet oleh ahli ahli keluarga pengantin lelaki yang bukan beragama Islam itu.

“Makin ramai ulama di dalam kerajaan Melayu Islam hari ini, makin kurang kedengaran suara mereka,” bidas Raja Kamarul lagi.