Siapa sangka, kejayaan seorang kontraktor yang ‘dibina’ bertahun-tahun boleh musnah sekelip mata dek kerana pilihannya untuk beristeri dua.
Tega mengkhianati isteri pertama semasa berada di puncak kejayaan, kini lelaki itu terpaksa hidup sebatang kara tanpa sesiapa menemani di sisi.
Mau tak mau, kontraktor yang pernah menguruskan projek jutaan ringgit itu harus ‘membina’ semula hidupnya dari bawah demi mencari sesuap nasi.
Satu pengajaran yang bermakna, kisah benar kontraktor itu diceritakan semula oleh rakannya sendiri menerusi satu hantaran video di laman TikTok.
Difahamkan, lelaki itu merupakan seorang bekas kontraktor perumahan yang berjaya di sebuah syarikat yang diuruskan bersama isteri pertama.
Namun, episod hitam lelaki itu bermula apabila kekayaannya lesap selepas seorang wanita baharu hadir di dalam hidup sebagai isteri kedua.
Tidak menceritakan secara terperinci apa yang berlaku, namun peristiwa itu dipercayai menjadi punca hidupnya musnah sekelip mata.
“Dulunya kawan saya ini seorang kontraktor perumahan yang berjaya. Kebanyakkan projek jutaan ringgit dia boleh dapat.
“Tetapi kerana kehadiran wanita yang telah menjadi isteri keduanya, semuanya musnah. Kekayaan yang dimilikinya hilang begitu sahaja.
“Kerana seorang wanita dia berjaya dan kerana seorang wanita jugalah dia hilang segalanya,” tulis keterangan di dalam video yang dikongsi di TikTok.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton berkongsi rasa simpati dengan nasib kontraktor tersebut.
Ada juga individu yang turut berkongsi kisah duka mereka sendiri selepas kehidupan diganggu dengan kehadiran orang ketiga.
“Sebelum suami lalai dengan perempuan lain, hidup kami bahagia walaupun tak kaya. Selepas dia mula buat perangai semuanya hancur,” kata seorang pengguna.
“Bertabahlah, tidak semua hidup dalam hidup ini indah. Semoga ada sinar rezeki dan kebahagiaan buat sahabat semua,” kongsi pengguna lain.
Baca juga: Dakwa guru gigit bibir dan tarik mulut anak, ibu tidak buat laporan polis?