Berkat bantuan bulanan yang diterima, seorang individu yang selama ini bergantung kepada bantuan dari baitulmal kini mampu berdiri di kaki sendiri dan menjalani kehidupan lebih baik.
Menerusi perkongsian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Facebook, mereka berkongsikan berita gembira tersebut kepada orang ramai.
Dalam satu surat yang dihantar oleh seorang individu yang menetap di Mersing, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak baitulmal Mersing yang membantu dari segi kewangannya dalam tempoh ketika dia sedang sakit.
Dengan pendapatannya sekitar RM2,400 yang diperolehnya setiap bulan, individu tersebut turut membuat permohonan agar pihak baitulmal menghentikan bantuan kewangan kepadanya.
“Saya penerima bantuan Baitulmal Jabatan Agama Islam Mersing ingin memaklumkan supaya bantuan ke atas saya diberhentikan kerana sekarang sudah bekerja dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Baitulmal kerana membantu masalah kewangan saya semasa sedang sakit,” tulisnya.
Perkongsian MAINJ itu membuatkan ramai memuji sikap jujur individu berkenaan yang mengisytiharkan dirinya sudah mampu tanpaperlu mengharapkan bantuan baitulmal.
Mereka juga menganggap dengan pengakuan jujur itu membuatkan orang lain berpeluang untuk mendapat bantuan seterusnya.
Baca juga: Sultan Nazrin seru murabbi lebih berani gemakan mesej perangi rasuah
Baca juga: Tular surat MP Bachok minta MPKB sediakan kerusi meja, hiasan bunga untuk majlis perkahwinan anaknya