Dulu Umno dakwa Pas alat DAP, sekarang Pas dakwa Amanah pula

Dulu Umno dakwa Pas alat DAP, sekarang Pas dakwa Amanah pula

Dakwaan Pas bahawa Amanah adalah khadam dan alat DAP hanyalah pengulangan dakwaan Umno selama ini yang mendakwa Pas adalah khadam DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, kalau selama ini dakwaan sebegini adalah mainan Umno untuk memburukkan Pas, kini Pas pula menggunakan taktik yang sama.

“Sebelum pilihan raya umum ke 13 lalu, Umno dakwa Pas alat DAP tetapi sekarang Pas pula yang dakwa Amanah alat DAP. Mana yang betul sebenarnya,” kata Lim Kit Siang.

Lim mengulas dakwaan pemimpin Pas terbaru kononnya menyokong calon Amanah dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar umpama menyokong DAP.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi pula berkata, pertandingan dalam PRK kali ini adalah pertandingan dua penjuru sahaja iaitu antara Pakatan Harapan melawan BN dan sekutunya.

Dalam muktamar di Kota Bharu baru-baru ini, PAS menganggap menyokong Amanah pada PRK ini ibarat memberi sokongan kepada DAP.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata pertembungan tiga penjuru dalam dua PRK kali ini jadi medan menentang DAP secara tidak langsung selepas perpecahan dua parti itu susulan terkuburnya Pakatan Rakyat yang wujud sejak PRU12.

“Kali ini (PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) tiga penjuru antara BN, PAS, dan Amanah yang ditaja DAP, sebab DAP kata sokong Amanah.

“Sokong DAP sama macam sokong Amanah,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-62 di Putik semalam.

TAGS