Malaysia Dateline

Dun Johor akan bubar jika masih berebut kuasa

Sultan Johor memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta sekiranya perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri terus berlaku.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, baginda kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku apabila ada pemimpin yang berbalah merebut jawatan demi kepentingan diri.

“Saya berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan,” titah baginda.

Dalam perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 14 Mei lalu, baginda mengingatkan wakil rakyat Johor agar tidak menyebarkan ‘virus perpecahan’ dengan perseteruan politik.

Februari lalu, peralihan kuasa di peringkat Pusat menyaksikan Pakatan Harapan turut tumbang di Johor menjadikan Perikatan Nasional berkuasa di negeri tersebut.

Pada hantaran Facebooknya itu juga, Baginda bertitah, baginda telah pun bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat pada setiap masa.

Justeru titah baginda, sekiranya berlaku perebutan kuasa, baginda akan memberi peluang kepada rakyat Johor memilih wakil mereka yang baharu

“Saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titahnya.