Dun Johor tegang gara-gara pantun

Dun Johor tegang gara-gara pantun

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor hari ini menjadi tegang seketika apabila Anggota Dun Bukit Permai Ali Mazat Salleh dituduh mengeluarkan ayat berbaur perkauman pada sesi perbahasan Bajet Johor 2018.

Ketegangan bermula apabila wakil rakyat itu menggunakan ayat ‘Anak Cina Memasang Lukah’ untuk baris pertama pantunnya dalam sesi perbahasan beliau.

Ia mengundang kemarahan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas) yang bingkas bangun mendesak Speaker Dewan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz mengarahkan Ali Mazat keluar dari dewan.

“Teruk betul Bukit Permai, tolong halau keluar daripada Dewan, cakap macam perkauman,” kata Yeo.

Selain Yeo, turut melahirkan ketidakpuasan hati Tan Hong Ping (DAP-Mengkibol) dan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram).

Hong Ping dalam tegurannya berkata penggunaan ayat itu tidak sesekali mencerminkan konsep Bangsa Johor yang digagaskan kerajaan negeri.

“Jangan pakai kaum Cina, kita semua Bangsa Johor”, katanya.

Bagaimanapun Mohammad meminta agar semua wakil pembangkang bertenang dan memohon Ali Mazat meneruskan perbahasannya.

Ali Mazat kemudiannya meneruskan ucapan perbahasan bajet itu dengan menukar ayat ‘Anak Cina’ tersebut kepada ‘Anak Ali’ yang akhirnya mendapat reaksi positif daripada pembangkang.

Ini lebih betul, kata Hong Ping.

Sementara itu, dalam sidang media diadakan kemudiannya, Ali Mazat berkata, beliau tiada niat untuk membangkitkan sentimen perkauman, malah menegaskan ayat pantun itu merupakan sebahagian daripada ayat lagu pantun yang dihasilkan pada 70-an.

“Saya tak menghina orang Cina. Pantun ini pantun lama dan budak-budak sekolah dahulu pun pernah dengar.

“Jadi, ini perkauman ke? Saya harap anggota dewan lebih rasional dan bagi orang-orang yang tinggal di Malaysia, ketahuilah budaya kita sesama sendiri,” katanya.

CATEGORIES