Malaysia Dateline

Speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri ADUN Nenggiri di Gua Musang kosong selepas penyandangnya Datuk Mat Yusoff Ab Ghani disahkan muflis

Dun Kelantan akan bincang keperluan PRK Nenggiri

Dewan Undangan Negeri Kelantan (Dun) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menentukan keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Dun Nenggiri.

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub berkata perbincangan itu bagi melihat segenap sudut keperluan PRK tersebut.

“Ini kerana kebiasaan selepas tiga tahun tarikh pilihan raya umum lepas berlalu, tiada lagi PRK biarpun ada kekosongan berlaku.

“Biar pun semalam ada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengatakan terpulang kepada Speaker untuk mengadakan PRK di Nenggiri,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Gua Musang, kosong selepas penyandangnya, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, disahkan muflis.

Abdullah berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak 2013, disahkan muflis.

“Sebelum ini penasihat undang-undang Negeri Kelantan juga menerima surat sama pada 21 Mei 2017 yang memaklumkan kebangkrapan Mat Yusoff yang juga ADUN Nenggiri (N43).

“Mengikut Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan seseorang itu tidak layak menjadi Adun jika muflis yang belum diselesaikan lagi.

“Dengan ini saya sebagai Speaker Kelantan mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi ADUN akibat muflis,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, 1 Jun lepas.

Sehubungan itu, Pas dan kerajaan negeri Kelantan disaran mencadangkan kepada SPR agar diadakan PRK di Dun Nenggiri untuk menilai kedudukan politik di negeri itu.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar dalam tulisan di facebooknya berkata, berdasarkan kenyataan SPR ekoran kekosongan kerusi itu, Speaker DUN Kelantan mempunyai budi bicara untuk mengadakan pilihan raya di situ atau tidak selepas selepas tiga tahun penggal DUN berlalu.

“Jika benar kenyataan SPR itu, elok rasanya Speaker Kelantan memberi laluan agar diadakan pilihan kecil di Nenggeri sebagai testimoni kedudukan dan senario politik di Kelantan hari ini.

“Biarlah nanti kerusi itu menjadi rebutan tiga komponen, BN, Harapan dan Pas,” kata Sayuti dalam tulisan itu merujuk politik Kelantan yang serba panas sekarang ini selepas Pas berpecah menghasilkan Amanah dan lahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas Umno juga berpecah.