Malaysia Dateline

Dun Mahkota sedia tapak sukan aktiviti ekstrim

Aktiviti lasak atau lebih dikenali sebagai sukan ekstrim di negara ini kian mendapat sambutan di hati anak muda pada masa kini.

Sesuai dengan sambutan tersebut, Dun Mahkota, Kluang Johor kini telah menyediakan tapak sukan ekstrim tersebut.

Tapak yang diberi nama ‘Extreme Park Kluang’ ini telah berjaya disempurnakan pada 3 Mac yang lalu oleh Adun Mahkota, Mohd Said Jonit.

Beliau yang ketika dihubungi berkata, perkara tersebut adalah suatu kebanggaan kerana selain menggalakkan remaja beraktiviti sihat, sukan tersebut dapat mengeratkan hubungan antara mereka.

“Ia mampu melahirkan semangat keyakinan diri yang jitu, semangat setia kawan, kerjasama dan juga semangat kepimpinan dalam kalangan anak muda hari ini.

“Kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus.

“Penyusutan bakat akan berlaku sekiranya budaya bersukan ini tidak dapat diterapkan dalam minda masyarakat dan ia sekaligus memadamkan harapan negara bagi melahirkan atlet-atlet berbakat,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut merasakan bahawa penglibatan dalam aktiviti sukan yang lemah bakal mengundang kepada gejala yang tidak sihat.

“Sukan tidak hanya berkisar soal mencari jaguh tetapi ia juga penting dalam membentuk Malaysia yang lebih sihat.

“Malaysia hari ini berada di puncak persada ‘ranking’ penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetis dan penyakit jantung.

“Justeru kerajaan negeri hari ini menggalakkan lebih ramai lagi orang awam untuk bergiat lebih banyak lagi dalam sukan dan itu mampu menjadi riadah fizikal,” ujarnya lagi.

Perasmian ‘Extreme Park Kluang’ itu turut disertai oleh Pejabat Daerah Kluang bersama Majlis Perbandaran Kluang dan lokasinya adalah di Jalan Besar Kluang Johor serta terbuka kepada orang awam.