Malaysia Dateline

Dun Paloh Johor diyakini akan punya pengundi tentera bagi kem dalam pembinaan

Pengarah Jentera Pilihan Raya DAP bagi Dun N30 Paloh, Johor Sheikh Omar Ali berkata, beliau sangat yakin Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku ke-4 2017 bagi kawasan Dun Paloh akan menyaksikan pemindahan masuk senarai pengundi baru dalam kalangan tentera ke lokaliti baru Kem Paloh yang masih dalam pembinaan.

“Ia tidak mustahil. Isu kem Segamat menjadi precedent, bagaimana kita saksikan sebanyak 1051 nama dalam kalangan tentera telah dipindah masuk mengikut RDPT suku ke-3 2017 meskipun kem masih dalam pembinaan.

“Ditambah dengan pasangan, jumlah pemindahan ini cukup untuk memberikan keselesaan kepada BN dalam memenangi kerusi N30 Dun Paloh dalam PRU akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, seperti yang sedia maklum, kemenangan yang diraih oleh calon MCA Teoh Yap Kun dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dengan majoriti 103 undi adalah suatu kedudukan yang merbahaya. N30 Paloh merupakan kerusi dalam senarai hitam BN menjelang pilihanraya ke-14 nanti.

“Ditambah dengan gelombang perubahan pengundi Melayu pasca tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kawasan Parlimen Sembrong yang disandang Menteri Pertahanan Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussin juga bukan lagi kerusi mudah buat BN menjelang PRU ke-14.

“Justeru, saya amat yakin Hishamuddin selaku ahli Parlimen Sembrong lebih-lebih lagi dengan kapasiti beliau sebagai Menteri Pertahanan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan merealisasikan projek pemindahan pengundi tentera ini sebagai taktik kotor bagi memastikan survival kemenangan BN khususnya di Dun Paloh serta Parlimen Sembrong dapat dicapai.

“Jika tidak percaya, tunggulah sehingga RDPT suku ke-4 2017 dipamerkan dalam masa terdekat ini. Saya yakin ia akan berlaku!” tambah Sheikh Omar (gambar).

Katanya lagi, tindakan memanipulasi undi ini adalah perbuatan jijik BN yang merampas demokrasi untuk memangi pilihan raya.

“Lebih-lebih lagi dalam isu kem Paloh, Segamat dan kem-kem baru yang diwujudkan menjelang PRU ke-14 ini, Hishamuddin dan SPR tidak wajar memperalatkan undi anggota tentera demi survival BN.

“Anggota tentera berjuang untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara, bukan menjadi perkakas untuk menyelamatkan BN!

“BN telah gagal meletakkan negara di landasan yang betul. Rasuah serta salahguna kuasa pemimpinnya telah menyaksikan maruah serta kedaulatan negara tercalar.

“Kami memberi amaran kepada Hisham, jangan mempergunakan anggota tentera untuk survival BN yang hanya akan memburukkan lagi nama baik Malaysia,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu.