Dun Perak lulus usul gantung Razman Zakaria 6 bulan

Oleh ROSLAN ZAMAN

Pemimpin Pas Perak yang juga Ketua Pembangkang, Razman Zakaria hari ini digantung serta merta oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas usul menggantung Razman selama enam bulan diluluskan.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol itu dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.

Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.

Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan yang hadir bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan.

Sebelum ini Razman Zakaria direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak pada awal bulan Mac yang lalu.

Keputusan tersebut didakwa dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat susulan beberapa isu yang melibatkan pemimpin itu termasuk kes terbaru mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

baca: Adun Hulu Kinta cabar Razman debat terbuka