Malaysia Dateline

Dun Perlis: SAP sedia pelan jangka pendek, jangka panjang atasi masalah air

Kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Perlis (SAP) telah menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu air di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Hamizan Hassan memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini bahawa antara pelan jangka pendek yang akan dilakukan oleh SAP bagi menyelesaikan isu kualiti air di negeri ini adalah mengadakan kerja-kerja pencucian paip agihan di kawasan terlibat dengan segera berdasarkan aduan yang diterima.

“Bagi pengguna yang memasang penapis air mereka (pengguna) perlulah membuat cucian sendiri secara berkala bagi mengelak kekotoran terkumpul masuk ke dalam penapis air, saluran paip rumah masing-masing,” katanya.

Hamizan (BN-Kayang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ketua pembangkang, Tuan Asrul Nizam Abd Jalil (PKR-Sena) mengenai pelan tindakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah air di Perlis yang berlarutan sekian lama.

Beliau berkata bagi menyelesaikan masalah tekanan air perlahan, pihak SAP akan menjalankan kerja-kerja pembaikan segera melibatkan kebocoran paip, kerosakan pam dan menukar paip air komunikasi lama jenis ‘corbonis iron’ (GI) kepada paip jenis ‘high density polyethylene’ (HDPE) mengikut peruntukan yang ada dan pengguna perlu menukar sendiri paip lama yang ada dalam kediaman mereka.

Katanya antara pelan jangka panjang yang akan dibuat bagi mengatasi isu air di negeri ini ialah SAP telah membentuk satu pasukan bagi melakukan pemantauan secara berkala.– BERNAMA