Dun Permatang Pasir dedahkan golongan muda dengan aktiviti keusahawanan

Dun Permatang Pasir dedahkan golongan muda dengan aktiviti keusahawanan
Faiz melawat salah sebuiah gerai semasa program sumbangan apron kepada usahawan semalam.

Program santai anak muda Dun Permatang Pasir diadakan bertujuan untuk mengumpulkan seramai mungkin golongan muda dan mendedahkan mereka dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dalam bidang keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, program itu juga bermatlamat menjadikan golongan muda lebih kompetitif dalam perniagaan.

“Dalam usaha untuk mengangkat martabat orang Melayu, bidang ekonomi merupakan bidang utama yang perlu diberi perhatian.

“Ini adalah kerana Dasar Ekonomi Baru atau DEB yang mensasarkan penguasaan 30 peratus ekonomi negara masih lagi belum dapat dicapat sepenuhnya.

“Malah ketuanan Melayu bukan hanya slogan tetapi adalah satu matlamat bagi mengeluarkan orang Melayu dari kepompong kemiskinan, ” ujarnya ketika ditemui semalam.

Kata Faiz lagi, orang Melayu seharusnya dididik dan dibimbing untuk berani menceburi bidang perniagaan kerana ia adalah kunci kejayaan untuk mengangkat martabat bangsa.

Disamping itu tegasnya, dalam mengejar kemajuan ekonomi, peniaga kecil gerai makanan dan barangan perlu dibela kerana mereka sebahagian dari penyumbang pembangunan ekonomi rakyat yang turut menjana ekonomi negara.

“Saya akan terus membantu memberikan bimbingan dan bantuan kewangan sepertimana yang telah berjaya direalisasikan untuk sebahagian besar usahawan.

“Yang penting sumbangan yang diberikan boleh diibaratkan memberi pancing dan bukannya memberi umpan.

“Secara tidak langsung ia mendedahkan kepada usahawan bahawa usaha yang berterusan disamping kesabaran mampu untuk membuahkan hasil, ” tambahnya lagi.

Faiz ketika majlis perasmian stall berger dan penyerahan apron di Dun Permatang Pasir semalam.