Dun Pulau Pinang akan sidang tiga kali setahun, kata Ketua Menteri

Dun Pulau Pinang akan sidang tiga kali setahun, kata Ketua Menteri

Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang mungkin akan diadakan tiga kali setahun selepas ini, sama seperti yang pernah dilakukan sekitar tahun 1990-an.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hal ini demikian bagi membolehkan lebih banyak isu dibahas selain lebih banyak masalah rakyat ditangani dengan segera.

Katanya, pendekatan itu juga selari dengan perubahan yang dibuat di Parlimen atau Dewan Rakyat ketika ini.

“Kalau mereka (Dewan Rakyat) boleh buat (perubahan), jangan beri alasan kita tak boleh. Negeri kita boleh dimajukan lagi dan saya harap pentadbiran ambil maklum hal ini.

“Saya sendiri melihat banyak perubahan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat selepas sepenggal tidak berkhidmat sebagai Ahli Parlimen,” katanya seperti dilapor Utusanonline.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) pada sidang Dun hari ini.

Terdahulu, Choon Aik membangkitkan kesediaan kerajaan negeri untuk mengadakan sidang Dun sebanyak tiga kali setahun bagi memberi lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dan sebagainya.

Tambah Kon Yeow (DAP-Padang Kota), sidang DUN sebanyak tiga kali setahun juga mampu memberi lebih ruang terhadap pindaan mana-mana enakmen atau ordinan yang berkaitan.