Malaysia Dateline

DUN Rantau:SPR rayu keputusan mahkamah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai terbatal dan tidak sah.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun memaklumkan, keputusan dibuat setelah meneliti penghakiman lisan di dalam kes petisyen pilihan raya DUN N.27 Rantau dan mengambil kira nasihat peguam.

“Ia juga diambil kira khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang terhadap para petugas dan SPR sendiri kepada operasi dan penjalanan pilihan raya di masa akan datang.

“SPR ingin menjelaskan bahawa rayuan yang dibuat adalah berdasarkan dapatan fakta terhadap SPR dan para petugas dan tidak melibatkan pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau semasa PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.