Malaysia Dateline

DUN Sabah bubar, kerajaan digesa segera gubal Akta Anti-Lompat Parti

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata sudah tiba masanya Parlimen meminda akta Anti-Lompat Parti susulan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah beberapa hari lalu.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, biar apa pun alasan wakil rakyat yang mempertahankan tindakan mereka keluar parti, kelakuan itu menjadi buah mulut dan kutukan rakyat Malaysia.

Apatah lagi katanya, gelaran ‘katak’ terhadap wakil rakyat yang melompat parti adalah menjijikkan.

“Sekiranya kerajaan persekutuan berubah lagi, adakah pelompat parti ini akan melompat lagi?

“Adakah pembelotan dan kepincangan parti akan berterusan selepas pilihan raya negeri ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan DUN dibubarkan berkuatkuasa 30 Julai lalu.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi ini.

Pembubaran dibuat selepas bekas Ketua Menteri Negeri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Musa berkata, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Pada 29 Julai.

Beliau mendakwa, gabungan baharu bagi membentuk kerajaan di negeri itu membabitkan beberapa parti, iaitu Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, Mohamed Arshad menegaskan bahawa dengan adanya undang-undang seperti akta Anti-Lompat Parti, seorang wakil rakyat tidak boleh lagi menjadi pelacur politik.