Dun Sabah serah dokumen pewartaan tambah Adun kepada SPR

Dun Sabah serah dokumen pewartaan tambah Adun kepada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali menyerahkan dokumen pewartaan mengenai penambahan 13 anggota DUN Sabah kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)Sabah Datuk Idrus Ismail.

Idrus berkata dokumen itu akan dihantar kepada Pengerusi SPR semalam bagi menjalankan kajian terperinci mengenai penambahan anggota Dun berkenaan.

“Kita cuba percepatkan proses kajian itu agar ia (penambahan anggota Dun) dapat diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya kepada pemberita selepas menerima dokumen pewartaan itu di pejabat Speaker DUN Sabah di sini, hari ini.

Pada 9 Ogos lepas, sidang DUN Sabah meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah bilangan anggota DUN daripada 60 orang ketika ini kepada 73 orang.

Seramai 55 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk empat anggota pembangkang bersetuju manakala tiga lagi tidak bersetuju dan seorang berkecuali untuk menambah 13 lagi Adun.

Sementara itu, Syed Abas berharap keputusan menambah 13 lagi anggota Dun itu dapat dibuat secepat mungkin.

“Kini, semua proses mengenai penambahan anggota DUN itu akan dilaksanakan SPR…kita berharap keputusan itu dibuat sebelum PRU14,” katanya.

TAGS