Malaysia Dateline

Dun Sarawak bersidang sehari 21 April ini

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, namun Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun)Sarawak tetap diteruskan pada 21 April ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, persidangan Dun Sarawak hanya dilangsungkan sehari kerana kerajaan negeri perlu mematuhi Perlembagaan Negeri.

“Kita perlu mematuhi Perlembagaan Negeri dan mesti bersidang pada 21 April iaitu selama sehari selepas tarikh asal ditukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Wisma Bapa Malaysia di Kuching semalam.

Sebelum ini Setiausaha Dun Sarawak telah menetapkan 16 April sebagai tarikh persidangan DUN selama sehari.

Berhubung cadangan segelintir pihak yang mahu beliau membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan pakej bantuan semasa Covid-19 pada persidangan itu nanti, Abang Johari berkata sehingga kini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa tidak ada keperluan untuk Kerajaan Sarawak membentangkan Rang Undang-Udang Perbekalan Tambahan untuk semua pakej bantuan yang telah diumumkan.

Ini kerana, katanya dana telah disediakan melalui Dana Kontigensi (Dana Belanja Luar Jangka) seperti yang diluluskan oleh DUN dalam Bajet 2020.

Ditanya mengenai sama ada kerajaan menggunakan Rizab Negeri sebanyak RM31 bilion, beliau seterusnya menegaskan sehingga kini Sarawak tidak perlu berbuat demikian kerana masih bergantung kepada Dana Kontigensinya semasa mengalami waktu sukar kini.

“Setakat ini kita tidak perlu untuk menyentuh rizab dan Sarawak hanya akan mengkaji keperluan menggunakan rizab negeri hanya jika perlu,” tegas beliau lagi.

Mengenai lanjutan PKP sehingga 28 April yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga 28 April ini, Abang Johari berkata Sarawak tetap akur dengan keputusan berkenaan.

“Kita tetap akur dengan pengumuman (PKP) oleh perdana Menteri agar situasi Covid-19 di negara kita dapat dikawal dengan sepenuhnya,” tambahnya.