Malaysia Dateline

Dun Selangor lulus usul kutuk serangan ke atas masjid di Christchurch

Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini, sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan terhadap umat Islam di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Speaker Dun, Ng Suee Lim berkata, kejadian yang mengorbankan lebih 50 nyawa itu disifatkan melampau dan tidak boleh diterima semua agama.

“Sehubungan itu, Dun Selangor mencadangkan kerajaan negeri untuk memperkukuhkan dasar keharmonian hidup dengan menganjurkan dialog silang budaya.

“Selain itu, institusi masjid dan surau serta semua institusi agama lain perlu memainkan peranan dengan menghilangkan prejudis yang menebal terhadap agama lain,” katanya dalam sidang Dun di sini, hari ini.

Terdahulu, usul itu dicadangkan Saari Sungib (Amanah-Hulu Klang).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (PKR-Sungai Tua) pula berkata kejadian itu adalah di luar batas kemanusiaan.

“Tindakan seperti ini dilakukan mereka yang gila, ekstrem dan di luar batas akal yang sihat.

“Ada kelompok yang kononnya memperjuangkan agama serta kemakmuran, namun kelompok ini juga yang membunuh dan memancung orang,” katanya.

Menurut laporan media, kejadian tembakan yang berlaku pada pukul 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia) itu, turut mencederakan tiga rakyat Malaysia manakala seorang masih belum dapat dikesan.- BERNAMA