Dun Selangor tolak usul bincang isu Mahathir hina Bugis

Dun Selangor tolak usul bincang isu Mahathir hina Bugis

Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini menolak usul tergempar bagi membahaskan isu membabitkan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina etnik Bugis hingga menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka.

Speaker Dun, Hannah Yeoh Tseow Suan menolak usul yang dikemukakan Datuk Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) pada persidangan itu atas alasan isu itu bukan perkara yang perlu disegerakan.

Datuk Abdul Shukur Harun

Shukor ketika mengemukakan usul tergempar itu meminta kerajaan Selangor menghormati titah Sultan Selangor dan sewajarnya pemimpin negeri melarang Dr Mahathir daripada turut serta dalam sebarang aktiviti kerajaan Selangor termasuk menghalang penggunaan sebarang premis milik kerajaan negeri.

“Saya bawa usul tergempar ini kerana penghinaan terhadap etnik Bugis yang dibuat oleh Dr Mahathir sehingga menimbulkan kemarahan dan reaksi negatif orang ramai terutama keturunan Bugis.

Malah mesyuarat Dewan Diraja Selangor dalam kenyataan pada 2 November  lallu menyatakan perkara tersebut dipandang serius dan (Sultan Selangor) amat kecewa dengan tuduhan sedemikian,” katanya kepada pemberita bagi mengulas penolakan usul itu di lobi Dun, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Shukor berkata beliau serta Adun  BN yang lain akan menghantar memorandum untuk menzahirkan sokongan kepada Sultan Sharafuddin dalam masa terdekat.

Ia juga sebagai tanda bahawa kami Adun BN berdiri teguh mempertahankan Sultan Selangor dan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Sharafuddin yang terdiri daripada salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor berasal dari Bugis, menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap Bangsa Bugis.

Perkara itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang mengaku tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia sebelum ini turut menuntut Dr Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka.

CATEGORIES