Malaysia Dateline

Dunia Arab cari tempat pergantungan baharu

Dalam banyak-banyak faktor mengapa negara-negara Arab mahu mengadakan hubungan diplomatik demgan Israel, terdapat suatu motivasi penting yang wajar diberikan perhatian khusus untuk mengetahui fenomena ini.

Ia adalah kelangsungan hidup rejim pemerintahan negara-negara Arab itu. Faktor lain yang mendorong mereka mengadakan hubungan diplomatik itu adalah ekonomi dan pertahanan.

Ekonomi bermaksud mereka perlu pertimbangan keadaan negara dan rantau mereka ketika mana sumber minyak akan habis pada satu masa kelak. Keadaan itu tidak lama.

Pertahanan pula bermaksud keselamatan negara masing-masing dalam menghadapi ancaman musuh tradisi, dalam konteks Semenanjung Arab dan Teluk Parsi, seteru mereka adalah Iran. Kalau pada zaman silam, ia dipanggil Parsi.

Geopolitik rantau itu beratus-ratus tahun dahulu, malah sebelum munculnya Islam pun melibatkan kuasa-kuasa serantau khususnya Parsi dengan pesaingnya bersilih ganti, termasuk Rom dan Habsyah.

Umpamanya, dari segi sejarah silam Habsyah yang merupakan kuasa penting rantau di Tanduk Afrika, mereka sentiasa menguasai Yaman.

Tetapi pada waktu sama Parsi juga sampai ke situ, ada masa mereka berdagang, pada waktu lain menakluk. Pengaruh mereka meliputi bukan saja selatan Semenanjung Arab tetapi juga di sebelah utara, di Syam, Palestin dan di batas Mesir.

Kemudian ketika mana Rom Timur atau Bizantin kuat dan menguasai Syam yang meliputi Iraq, pengaruhnya juga sampai ke Teluk Parsi hinggalah bertembung dengan pengaruh Parsi di Yaman.

Kemunculan Arab merobek pesaingan antara Parsi dan Rom di Semenanjung Arab, Syam, Parsi dan Yaman. Kuasa Arab menakluki wilayah Parsi, Rom Timur, Yaman dan juga Habsyah.

Walaupun kemudiannya wilayah-wilayah Parsi menjadi Islam tetapi mereka memilih mazhab Syiah. Penguasaan Syiah daripada kerajaan Fatimiah ini bukan saja bertapak di Yaman tetapi merebak hingga ke Mesir di mana beratus tahun, Kaherah membina satu peradaban besar yang ditandai oleh Universiti Azhar.

Itu adalah kisah sejarah yang tiada kaitan dengan politik zaman moden. Tetapi watak geopolitik adalah serupa. Iran adalah pewaris kerajaan Parsi. Dunia Arab tetap Arab.

Amerika Syarikat mewarisi Rom, walaupun pangkalannya jauh di benua lain tetapi Israel itu adalah sebahagian daripada kekuasaan mereka.

Negara-negara Arab yang baharu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel adalah Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi.

Walaupun belum keseluruhan dunia Arab berbuat demikian tetapi ia cukup mewakili mereka dengan jangka panjang akan meliputi kesemuanya.

Emiriah dan Bahrain adalah negara Teluk Parsi, dan mereka akan diikuti oleh negara rantau yang sama iaitu Kuwait, Qatar dan Arab Saudi. Sudan dan Maghribi adalah negara Arab di Afrika, dan mereka akan dituruti oleh oleh Libya, Tunisia dan Algeria. Mesir sudah ada hubungan diplomatik.

Semasa Perang Dingin, Emiriah dan Bahrain adalah sekutu Amerika. Mereka diperintah oleh sistem keluarga beraja mutlak seperti mana Qatar, Kuwait, Saudi, Jordan dan Maghribi.

Sememangnya mereka bergantung pada Amerika bukan saja bagi berdepan dengan Israel tetapi sebarang penentangan rakyatnya dari golongan kiri dukungan Soviet Union.

Sudan pula semasa Perang Dingin berpaksi pada  Soviet seperti mana Mesir, Syria, Iraq, Libya, Tunisia dan Algeria. Yaman terbahagi dua, Yaman Utara adalah sekutu Amerika, Yaman Selatan pula sekutu Soviet.

Sebelum kebangkitan nasionalis kiri Arab, Sudan, Mesir, Syria, Iraq dan Libya diperintah oleh raja yang merupakan sekutu Amerika tetapi tidak ada sebuah negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi liberal dan memilih kerajaan melalui pilihan raya umum pelbagai parti.

Oleh kerana Amerika menyokong Israel, maka sebahagian negara Arab yang memilih jalan nasionalis kiri mengambil Soviet sebagai sekutu. Bukan saja Soviet menyokong perjuangan Palestin tetapi negara komunis itu turut memberi  bantuan bagi menghadapi Amerika. Maka rantau itu menjadi medan Perang Dingin antara Amerika dan Soviet.

Seorang lelaki Palestin membakar lukisan berimejkan Donald Trump semasa tunjuk perasaan di Bandar Gaza pada 24 Jun 2019. Foto Reuters

Sungguhpun menjadi sekutu Amerika, negara Arab tidaklah mengiktiraf Israel. Selain daripada masih mendukung perjuangan Palestin, mereka tidak berasakan perlu tunduk pada Amerika hingga perlu mengiktiraf Israel. Lagipun Amerika mengecewakan negara Arab kerana gagal membawa kepada penubuhan negara Palestin.

Namun begitu, orang Arab juga kecewa dengan Soviet kerana turut gagal membebaskan Palestin. Maka ada yang beralih ke gerakan Islam antaranya mendukung kumpulan seperti Ikhwanul Muslimin.

Sudan menjadi negara Arab pertama memilih haluan Islam. Ini diikuti pula dengan berlakunya Revolusi Iran dan kebangkitan Mujahidin melawan Soviet.
Amerika tentunya menggalakkan penjarakan negara-negara Arab daripada Soviet. Tambahan pula apabila Soviet sendiri tumbang pada tahun 1989. Negara dan regim Arab kiri hilang tempat pergantungan.

Namun begitu, gerakan Islam pula tidak dapat menggantikannya. Iran  tidak cukup besar untuk berperanan bagi membebaskan Palestin.

Pada satu masa, Turki dilihat sebagai model negara demokratik Islam yang boleh dijadikan contoh oleh negara-negara Arab. Tetapi rejim-rejim Arab baik, raja mahupun republik tidak suka pada sistem demokrasi kerana ia menggugat kedudukan mereka dan membuka ruang bagi pengaruh Barat atau gerakan Islam.

Namun begitu, rakyat muda Arab yang sudah terpinggir dengan sistem autoritarian raja dan republik mahu demokrasi. Inilah yang berlaku pada Arab Spring di Tunisia, yang tidak disangka oleh Amerika.

Arab Spring merebak ke Libya, Mesir, Yaman, Syria dan Bahrain dengan tuntutan demokrasi rakyat. Amerika mengambil kesempatan dengan menggulingkan rejim nasionalis kiri Muammar Gaddafi.

Pada satu ketika, Amerika melihat perkembangan ini merupakan pendemokrasian positif yang menguntungkannya. Turki menyokong Arab Spring tetapi rejim beraja dan republik Arab bimbang kuasa mereka akan hilang. Untuk itu mereka menghalang.

Pilihan raya diadakan di Tunisia dan Mesir yang menyaksikan parti Islam demokratik seperti Turki menang. Bukan saja rejim beraja dan republik Arab tidak suka, tetapi juga Amerika dan Israel. Demokrasi di negara-negara sekutu kaya minyak akan menjejaskan kepentingannya.

Demokrasi Mesir digagalkan. Tetapi lebih parah lagi demonstrasi diperangi di Yaman dan Bahrain. Tetapi Arab Spring di Syria digalakkan untuk menjatuhkan rejim republik nasionalis kiri seperti mana yang berlaku di Libya. Namun, Amerika hanya berjaya di Libya tetapi gagal di Syria.

Maka akhirnya hanya di Tunisia, demokrasi berjaya. Keseluruhan harapan rakyat muda untuk melihat demokrasi di dunia Arab kecundang. Namun pada tahun 2019, kerana tidak tahun dengan regim republik yang tiada perubahan, rakyat muda di Sudan dan Algeria menuntut demokrasi dan pembaharuan.

Tuntutan demokrasi ini pada masa-masa akan datang boleh jadi kuat. Generasi akan datang lebih berpendidikan dan terbuka. Rejim beraja dan republik tidak akan terlepas daripada perubahan, negara-negara bukan Arab di Timur Tengah iaitu Turki, Iran dan Israel, mengamalkan demokrasi. Begitu juga negara Arab di pinggiran politik seperti Palestin dan Lubnan, mereka memiliih pemimpin melalui pilihan raya.

Untuk menyelamatkan kedudukan rejim, caranya ialah bersekutu dengan Amerika dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, serta mencari perdamaian bagi Palestin. Tetapi perjalanan untuk itu masih jauh.

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.