Malaysia Dateline

Dunia memerhati PRN Johor, melihat kleptokrat kembali jadi PM

Seluruh dunia sedang memerhatikan pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac, bukan kerana Johor lebih penting, tetapi untuk melihat sama ada kleptokrat yang telah tersabit bersalah boleh mula untuk kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11.

Sebelum 9 Mei 2018, rakyat Malaysia yang telah ke luar negara berkeberatan untuk mengaku yang mereka adalah rakyat Malaysia kerana mahu mengelakkan persoalan mengenai skandal 1MDB yang bernilai berbillion ringgit, yang telah terkenal di seluruh dunia walaupun perkara ini disekat di dalam negara dan Ahli-ahli Parlimen sendiri dihalang daripada membahaskan perkara ini dan hakikat di mana Malaysia sedang menjadi sebuah kleptokrasi di dalam Parlimen.

Dengan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, rakyat Malaysia sekali lagi berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana mereka melihat tindakan ke atas skandal 1MDB dan melihat harapan bukan sahaja untuk menamatkan nasib Malaysia sebagai kleptokrasi tetapi juga untuk mengundurkan kemerosotan negara selama setengah abad di mana daripada menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, Malaysia telah kalah kepada satu demi satu negara – Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam. Kita tidak mahu meneruskan trajektori ini yang akan menyebabkan Malaysia kalah kepada lebih banyak negara, termasuklah Indonesia dan Filipina.

Dunia memerhati PRN Johor, melihat kleptokrat kembali jadi PM
Datuk Seri Najib Tun Razak

Tetapi semua harapan untuk perubahan ini telah musnah selepas 22 bulan dengan konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menamatkan mandat lima tahun kerajaan Pakatan Harapan. Hasilnya, Johor dan Malaysia kembali terjerumus ke dalam kemerosotan negara seperti era sebelum 9 Mei 2018.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021, Malaysia kehilangan lima mata dalam markah dan 11 mata dalam kedudukan dalam tempoh dua tahun, yang merupakan dua tahun terburuk bagi Malaysia dalam siri TI CPI sejak 1995.

Jika Malaysia tidak mengundurkan kemerosotan negara, kita akan dipintas oleh dua negara yang berada di terendah dalam TI CPI 1995 – China dan Indonesia – menjelang 2025.

Adakah rakyat Malaysia perlu menjerit “Apa Malunya” apabila perkara ini berlaku dan Malaysia dianggap oleh dunia sebagai lebih korup daripada China dan Indonesia?

Penerbitan Bank Dunia pada penghujung 2020 mengenai “Pendekatan Malaysia untuk Memerangi Rasuah” menyenaraikan beberapa inisiatif utama dan pembaharuan yang sedang dijalankan apabila kerajaan Pakatan Harapan digulingkan secara tidak demokratik, tidak berperlembagaan dan tidak sah oleh konspirasi Langkah Sheraton, contohnya pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberikan kebebasan dan autonomi yang lebih besar kepada Parlimen untuk memastikan semak dan imbang ke atas fungsi eksekutif (yang masih belum dilaksanakan oleh dua kerajaan pintu belakang dalam 24 bulan yang lepas), inisiatif untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada tidak lebih daripada dua penggal (masih belum dilaksanakan), mengawal lompat parti oleh ahli parlimen (masih belum dilaksanakan), memperkukuh sistem pilihan raya (masih belum dilaksanakan), memperkenalkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (masih belum dilaksanakan), Akta Ombudsman untuk menggantikan Biro Pengaduan Awam untuk menambah baik pengurusan aduan awam (masih belum dilaksanakan) dan reformasi berkenaan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk memuktamadkan garis panduan untuk menamatkan era pelantikan politik ke dalam GLC (yang bukan sahaja tidak dilakukan, tetapi diterbalikkan dengan lebih banyak pelantikan politik ke dalam GLC dalam dua tahun lepas).

Bank Dunia tepat bahawa dengan penggulingan kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan oleh konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, “terdapat ketidakpastian sama ada momentum reformasi anti-rasuah akan dikekalkan”.

Pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac 2022 akan menjadi peluang bagi rakyat Malaysia untuk mengisytiharkan bahawa mereka mahu usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan Malaysia Baharu, mengundurkan kemerosotan negara dalam setengah abad yang lalu dan memisahkan negara kita daripada kleptokrasi, untuk diteruskan kerana Malaysia tidak mahu akhirnya menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan sebuah negara yang gagal.

Jangan kita biarkan Pilihan Raya Negeri Johor ini permulaan proses yang akhirnya menyebabkan rakyat Malaysia di luar negara sekali lagi malu untuk mengaku yang mereka adalah rakyat Malaysia kerana mahu mengelakkan persoalan mengenai seorang penjenayah yang telah disabitkan bersalah menjadi Perdana Menteri sekali lagi.