Malaysia Dateline

Dunia menanti Taliban buktikan Afghanistan untuk semua

Tarikh 31 Ogos 2021, tentera terakhir dari Amerika Syarikat (AS) meninggalkan bumi Afghanistan. Maka tamatlah penjajahan AS selama 20 tahun negara tersebut.

Rakyat Afghanistan terkenal dengan keberanian dan semangat juang yang tinggi. Sebelum ini, mereka telah mengalahkan kuasa dunia diwaktu itu iaitu Britain.

Ketika rejim komunis menguasai Afghanistan dengan bantuan dari Russia, rakyat bangkit menubuhkan kumpulan mujahidin daripada pelbagai kelompok etnik untuk bangkit melawan Russia.

Mereka memperolehi kelengkapan senjata mereka diberi oleh Pakistan, AS dan dibantu kewangan oleh Saudi serta negara-negara Teluk. Ramai pejuang dari seluruh dunia khususnya dari negara-negara Arab pergi ke Afghanistan untuk menentang kerajaan Komunis Russia sehingga menyebabkan Russia terpaksa berundur dari Afghanistan melalui perjanjian yang dibuat di Geneva.

Pertelagahan

Selepas kejayaan itu, Mujahidin menguasai pentadbiran di Kabul. Namun, ianya tidak membawa kestabilan apabila berlakunya pertelagahan yang dahsyat antara mereka sehingga berperang sesama sendiri sama ada antara kumpulan Gulbuddin Hekmatyar, Burhanuddin Rabbani, Rasul Sayyaf atau Ahmad Shah Mas’ud serta kumpulan yang lain seperti Rashid Dustom.

Pertelingkahan itu diambil peluang oleh golongan yang disebut sebagai pelajar-pelajar di pondok-pondok di Pakistan atau sempadan Pakistan atas nama Taliban. Mereka muncul mengalahkan kumpulan Mujahidin dari satu daerah ke daerah yang lain sehinggalah akhirnya berjaya menguasai Kabul dan hampir keseluruhan Afghanistan.

Apabila berlakunya pengeboman World Trade Center (WTC) di New York pada tahun 2001, AS menunding jari kepada kumpulan-kumpulan yang bernaung di Afghanistan khususnya Al-Qaeda sebagai bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Ia menjadi alasan kepada pentadbiran George Bush untuk menyerang Afghanistan bersama kuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lain.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid (kiri), pada sidang media pertama di Kabul selepas Taliban menguasai Afghanistan bulan lalu.

Tarikh akhir

Serangan ini telah berjaya mengalahkan Taliban sehingga menyebabkan mereka terpaksa berundur dari kota-kota utama. Namun, mereka kekal di bandar-bandar kecil di Afghanistan yang sukar ditembusi keseluruhannya oleh tentera AS.

Selepas 20 tahun pendudukan AS di Afghanistan, pentadbiran Donald Trump mengumumkan perancangan untuk mengundurkan tentera AS.

Ianya direalisasikan oleh Joe Bidin yang mengisytiharkan tarikh 31 Ogos 2021 sebagai hari tarikh akhir tentera AS berundur keseluruhannya dari Afghanistan. Peluang ini diambil oleh Taliban untuk menggerakkan tenteranya.

Dalam masa hanya beberapa minggu mereka menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan. Sekarang, bumi Afghanistan terbebas dari cengkaman kuasa luar.

Saya mengharapkan Taliban dan rakyat Afghanistan pelbagai puak menginsafi bersama tempoh 40 tahun mereka berada di dalam peperangan yang menyebabkan kemunduran dan kemusnahan kepada negara.

Bahkan dalam tempoh itu, berlakunya tafsiran terhadap undang-undang syariah mengikut kehendak puak-puak tertentu yang menyebabkan agama Islam ini ditakuti dan bukannya dirahmati.

Perkara sebegini tidak boleh lagi berulang. Hari ini, pemimpin Taliban mengeluarkan kenyataan dengan penuh keinsafan bahawa mereka akan menjadikan Afghanistan untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan puak, mazhab atau fahaman boleh bernaung secara aman di bawah pemerintahan Taliban.

Kenyataan ini amat menarik dan kita menanti dengan penuh keyakinan agar mereka akan mengotakannya.

Bersahabat

Sebelum itu, pemimpin Taliban telah mengadakan lawatan ke Iran, China dan Pakistan. Negara-negara ini mempunyai pengaruh terhadap rakyat Afghanistan dan harapannya agar mereka turut sama memainkan peranan untuk membangunkan kembali Afghanistan tanpa campur tangan dalam pentadbiran rakyat tempatan.

Kita mengharapkan peperangan yang telah berlalu selama 40 tahun akan menginsafi semua pihak agar kembali ke meja rundingan dan bersatu.

Taliban juga mestilah mengotakan janji mereka untuk menjadikan Afghanistan untuk semua dan bersahabat dengan semua negara di dunia kecuali Israel.

Kata-kata mereka ini amat memberangsangkan tetapi ia memerlukan pembuktian dalam masa yang segera agar munculnya negara muda selepas perang yang menjadikan Islam Rahmatan Lil A’lamin pada masa sekarang dan akan datang.

*MOHAMAD SABU merupakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor.