Dunia perlu kutuk insiden tembakan rambang di dua masjid di New Zealand

Oleh Dateline TV

AMANAH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan luar batasan kemanusiaan yang berlaku di dua masjid; Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand apabila seorang lelaki telah menembak secara rambang orang Islam yang berada dalam bangunan tersebut.

AMANAH melalui Setiausahanya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kekejaman yang dibuat secara ‘live-stream’ itu perlu dibantah dan dikutuk oleh semua pihak tanpa kecuali kerana tindakan yang secara jelas melampaui batasan dan lebih kejam dari pengganas.

AMANAH juga melihat tindakan ini sebagai satu kebiadapan dan penghinaan terhadap Islam kerana serangan yang dibuat itu berlaku di dalam rumah ibadah yang mana tidak boleh dicerobohi, melakukan perbuatan kasar apatah lagi sehingga menyebabkan berlaku pertumpahan darah.

Justeru, AMANAH menggesa Kerajaan New Zealand dan pihak berkuasa bertindak segera serta mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap pesalah itu.

Selain itu, AMANAH juga menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar turut menunjukkan sikap tegas dengan mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan biadap itu yang dianggap detik paling hitam dalam sejarah New Zealand.