Malaysia Dateline

Dunia sedang menuju kiamat iklim, ini 6 petunjuk kritikal perubahan iklim ekstrem

Dunia dikatakan bakal dilanda kiamat iklim yang diramal berlaku pada tahun 2040.

Ikon Ais Kutub Utara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebelum ini menegaskan pelbagai fenomena yang berlaku sejak beberapa tahun mutakhir ini adalah akibat perubahan iklim ekstrem.

1. Suhu panas melampau di Eropah

Fenomena kemarau panjang di Eropah merupakan yang terburuk dalam tempoh 500 tahun. Suhu panas melampau melanda sebahagian benua Eropah.

Akibat gelombang haba di Eropah Barat, sebahagian kawasan mengalami kebakaran hutan merentasi kawasan yang luas.

Sebahagian besar Semenanjung Iberia mengalami suhu melebihi 40 darjah celsius di Sepanyol dan Portugal.

Di selatan Perancis, setakat Julai lalu, kebakaran hutan memusnahkan 800 hektar pokok pain di selatan Bordeaux, menyebabkan 150 penduduk terpaksa berpindah dari rumah mereka.

Monumen purba 150 batu tegak yang digelar Stonehenge Sepanyol muncul akibat kemarau paling buruk melanda negara itu dalam tempoh 60 tahun.

Lingkaran batu granit yang berasal dari 5,000 SM tersebut hanya terlihat empat kali sebelum ini sejak ditemukan pada 1924.

Struktur prasejarah yang dikatakan berusia lebih tua dari Stonehenge Inggeris ini merupakan binaan yang dibina bangsa Celtic 7,000 lampau.

2. Puluhan sungai mengering di China

Gelombang haba China berlarutan lebih dua bulan dengan suhu panas di sepanjang lembangan Sungai Yangtze – sungai terbesar di Asia dan ketiga terpanjang di dunia – menjejaskan banyak tanaman.

Pada 16 Ogos lalu, bahagian dasar sungai kering di sepanjang Sungai Yangtze di barat daya Chongqing. Akibatnya, banyak kapal terkandas di tengah-tengah Sungai Yangtze selepas musim panas paling kering di China dalam tempoh 60 tahun.

Bulan lalu juga, di salah satu lembangan penting Yangtze di wilayah Jiangxi di tengah China, Tasik Poyang telah mengecil kepada satu perempat daripada saiz normalnya pada tahun ini.

Sebanyak 66 sungai merentasi 34 daerah di wilayah barat daya Chongqing telah kering. Kilang-kilang di wilayah Sichuan dan metropolis bersebelahan Chongqing di barat daya diarah tutup selepas takungan untuk bekalan kuasa hidro jatuh kepada paras separuh daripada biasa.

China pada akhir Ogos lalu meletakkan amaran merah untuk suhu tinggi, amaran paling teruk dalam sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti dengan oren, kuning dan biru.

Kilang-kilang di wilayah Sichuan telah mula menutup sementara operasi akibat kekurangan bekalan tenaga akibat sungai yang semakin mengering.

Akibat kemarau dahsyat juga, sebuah pulau tenggelam di bandar Chongqing kini mula ‘timbul’ bersama tiga arca pahatan batu figura Buddha yang dipercayai berusia 600 tahun.

Ketiga-tiga patung Buddha yang dipercayai wujud semasa dinasti Ming dan Qing ‘muncul’ selepas paras air Yangtze menurun dengan cepat akibat kemarau dan gelombang panas.

3. Sungai Furat makin mengering

Sungai Furat yang sepanjang 2,781 km semakin mengering dengan ketara sehingga menampakkan binaan tamadun purba di dasarnya yang selama ini tersembunyi.

Ada pengkaji meramalkan Sungai Furat atau Euphrates yang merupakan sungai terpanjang di Asia Barat itu akan mengering sepenuhnya menjelang 2040.

Paling teruk terjejas adalah penduduk Iraq memandangkan selain kemarau, keadaan diburukkan lagi dengan empangan yang dibina di hulu dua sungai oleh negara jiran, iaitu Turki dan Iran.

Rekod hujan rendah, ditambah lagi dengan perubahan iklim menyebabkan ramai petani terjejas. Ladang gandum dan barli yang diusahakan di dataran Nineveh diancam kemarau melampau sehingga melebihi 50 darjah Celsius.

Walhal, kawasan di timur laut Mosul itu, sebahagiannya dipanggil Bulan Sabit Subur tempat pertanian dimulakan 12,000 tahun yang lalu.

Surutnya Sungai Furat sehingga tiba tahap menampakkan gunung daripada emas yang menyebabkan ramai orang berperang untuk merebutkannya adalah antara tanda-tanda kecil kiamat yang akhir sebelum munculnya Imam Mahdi dan tanda besar kiamat yang seterusnya, Dajjal.

4. Bongkah ais Greenland mencair secara ekstrem

Greenland turut terdedah kepada peningkatan kejadian cuaca melampau dengan fenomena pencairan bongkah ais berskala besar berlaku sejak tahun 2011.

Sebanyak 3.5 trilion tan bongkah ais di Greenland mencair sejak sedekad lalu mengakibatkan peningkatan permukaan air laut dunia sebanyak satu sentimeter, sekali gus meningkatkan risiko banjir di seluruh dunia.

5. Gunung berapi mula aktif di Antartika

Sebuah gunung berapi pendam dekat Antartika mula aktif sejak tahun 2020. Gunung Berapi Orca dikesan telah mencetuskan 85,000 gempa bumi!

Aktiviti seismik gunung itu dari Ogos hingga November 2020 dan terkuat pernah direkodkan di Antartika.

Kejadian itu merupakan yang pertama seumpamanya berlaku di benua itu.

6. Suhu di Kutub Utara bukan membeku

Sejak tahun 2020, suhu di kepulauan Svalbard Norway, yang terletak di pertengahan antara daratan dan Kutub Utara, mencecah bacaan tertinggi iaitu 21.7 darjah Celsius.

Kenaikan suhu mencairkan tanah beku dan berpotensi memendapkan banyak bangunan, jalan raya dan lapangan terbang serta boleh mengakibatkan tanah menggelongsor atau runtuh.

Pemanasan iklim juga mengancam hidupan liar Artik seperti beruang kutub dan anjing laut yang bergantung pada lapisan ais sebagai perlindungan.

Tasik Mendocino di Amerika Syarikat yang semakin surut mengakibatkan kira-kira 40 peratus sektor pertanian di negara itu terjejas dan bekalan air ke bandar-bandar berkaitan tersekat.

Baca juga Apa persediaan Malaysia hadapi jangkaan kemarau melampau 2025?

Baca juga Pemanasan global makin serius, Ikon Ais Kutub Utara lihat sendiri banyak bongkah ais pecah dan hancur