Malaysia Dateline

Dunia terus diserang wabak Covid-19

Seramai 64,678 kematian dicatatkan dengan lebih 1.2 juta kes jangkitan wabak Covid-19 dilaporkan di 190 negara dan wilayah seluruh dunia setakat jam 9 pagi tadi.

Itali mencatatkan angka maut tertinggi dengan 15,362 kematian, diikuti Sepanyol (11,947), Amerika Syarikat (AS) (8,452) dan Perancis (7,560).

China negara pencetus kepada wabak ini bagaimanapun kekal dengan jumlah lebih 3,000 kematian.

Sementara itu, Bank Pembangunan Asia memberi amaran, Covid-19 menjejaskan ekonomi global sehingga mencecah AS$4.1 trilion, iaitu bersamaan 4.8 peratus pengeluaran dunia.

Di AS, Jabatan Buruh melaporkan sektor pekerjaan menjunam sebanyak 701,000 pada bulan lalu, sementara kadar pengangguran melonjak 4.4 peratus.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memberi amaran bahawa Amerika Latin sedang menuju kemelesetan ekonomi yang teruk, tahun ini.

Menurut Program Makanan Sedunia, pandemik itu mengakibatkan masalah kekurangan makanan bagi ratusan juta penduduk dunia, terutama di Afrika yang bergantung pada bekalan import.

Lebih 3.9 bilion penduduk – separuh daripada populasi dunia – diminta atau diarahkan oleh pihak berkuasa untuk kekal berada di dalam rumah di lebih 90 negara dan wilayah, mengikut maklumat pangkalan data AFP.

Dalam pada itu, Sepanyol mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung dilanjutkan hingga 25 April ini, manakala Maldives melaporkan dua kes pertama Covid-19 membabitkan pekerja hotel.

Di Malaysia, sebanyak 3,483 kes positif Covid-19 dengan 57 kematian direkodkan dengan keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan atau tidak ditentukan pada 10 April ini.