Malaysia Dateline

Dunia tidak peduli China kurung lebih sejuta Muslim

Dianggarkan 1 hingga 2 juta orang Islam berketurunan Uighur di wilayah Xinjiang telah ditahan oleh pihak berkuasa China, dan berjuta lagi menunggu masa dibawa ke pusat-pusat tahanan, kini berada di bawah pengawasan Parti Komunis China.

Sejak perihal layanan buruk yang dikenakan oleh pihak berkuasa China ke atas etnik Uighur di Xinjiang ini mula didedahkan di peringkat antarabangsa dua tahun lalu, sehingga kini kerajaan-kerajaan asing dan pertubuhan besar hanya menutup mata dan bersikap seolah-olah perkara tersebut tidak berlaku.

Kata pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch) bagi negara China, Sophie Richardson, menurut laporan Axios, sekiranya ada negara lain yang berbuat seperti China ini, menahan lebih sejuta umat Islam berketurunan tertentu, kita jamin, seluruh dunia akan menjerit.

“Tapi disebabkan ia China, yang mempunyai kuasa yang besar dalam institusi antarabangsa sekarang, maka sukar bagi kita untuk melihat tindak balas yang diharapkan,” kata beliau.

China telah lama melaksanakan kempen “assimilasi dan penghapusan budaya” di Xinjiang, tetapi di bawah Presiden Xi Jinping kempen berkenaan “ditingkatkan secara drastik”, kata Omer Kanat, seorang aktivis Uighur, menurut laporan itu.

“Kem-kem tahanan diwujudkan untuk menghapuskan terus identiti agama dan etnik dalam kalangan masyarakat Uighur,” tambahnya.

China menafikan wujudnya kem-kem sedemikian, sebaliknya mendakwa mereka yang berada di kem-kem berkenaan adalah sukarelawan dan ia diwujudkan untuk membasmi gerakan pelampau.

Namun laporan terbaru Pemerhati Hak Asasi Manusia mendedahkan bahawa pihak berkuasa China telah menggunakan aplikasi tertentu untuk mengesan dan memantau hampir setiap aspek kehidupan masyarakat Uighur sehinggakan kepada aktiviti yang tiada kena mengena dengan terorisme.

“Kriteria yang meragukan ini digunakan untuk mengenalpasti sebilangan besar masyarakat Uighur dan sebahagian besarnya pula kemudian telah ditahan,” tambah Richardson.

“Apa yang berlaku di Xinjiang sekarang, tidak berlaku dalam sekelip mata, jika penganalisis seperti kami ini gagal mengesannya – kami akui kami gagal mengesannya – apa yang berlaku selepas ini tentulah sukar ditentukan,” katanya lagi.