Malaysia Dateline

Dunia Tok Guru pondok

Ramai penentang “bid’ah” yang lantang pada hari ini tidak hidup di zaman atau di tempat “bid’ah” itu berlaku. Mereka hanya mendengar guru mereka berkata, “ini bid’ah” tanpa mendalami latar belakang sesuatu amalan.

Sekali lagi ditegaskan, aku lawan bid’ah dan menolak bid’ah. Namun aku tidak bermudah-mudah membid’ahkan sesuatu amalan dan tidak terikut-ikut dengan golongan sebegitu.

Misalnya mandi Safar. Ini amalan bid’ah dan aku pun tak setuju amalan itu. Perbuatan ini mungkar. Hal ini jelas dalam hadith bahawa tiada kesialan pada bulan Safar bahkan pada bulan mana-mana pun.
Tapi, pernahkah kita meneliti mengapa mandi Safar boleh wujud dalam masyarakat kita?

Bahkan, dalam kalangan masyarakat pondok sendiri, suatu ketika dulu, amalan itu berlaku. Adakah tok guru pondok ketika itu tak tahu bid’ah mandi Safar?

Tok guru pondok tak baca hadith tiada kesialan Safar? Tok guru pondok tak jumpa dalam kitab bid’ah mandi Safar? Kemungkinan itu ada, tapi tipis kerana tok-tok guru pondok dulu mengaji kitab dari kulit ke kulit. Tak ada sepatah yang tertinggal.

Kita di zaman ini Matan Ajurrumiyyah pun cuma tahu tajuk kitabnya saja. Syarahnya Mutammimah tak pernah tahu pun. Jauh sekali nak khatam Alfiyyah Ibn Malik dan syarahnya Ibn ‘Aqil.

Ya, aku tahu, itu bukan ukuran kebenaran tetapi itulah ukuran kelebihan tok guru pondok dulu berbanding kita.

Mengaku, “kami penegak sunnah” tapi hadith Riyadus Salihin pun tak khatam, jauh sekali nak faham dengan baik. Tak salah mengaku “penegak sunnah” tapi janganlah sampai menuduh orang lain yang kadang-kadang lebih faham tentang sunnah sebagai penolak sunnah.

Masyarakat dulu, apabila berdepan suatu situasi getir akan cari kubur, pokok besar, sungai, laut untuk memohon hajat dan melepas bala. Perkara itu dilakukan saban hari, bahkan setiap terluang waktu, di situlah mereka mengadu nasib. Mereka berjumpa pawang, tukang telek untuk melihat nasib diri.

Bagaimana tok guru pondok mendidik golongan ini untuk menghentikan amalan sebegitu? Maka, ketika inilah ilmu Usul Fiqh yang mereka belajar dipraktikkan. Ketika inilah kaedah “irtikab akhaffu al-dararain” diamalkan. Ketika inilah konsep-konsep maqasid syariyyah mereka aplikasikan.

Kelemahan tok guru pondok zaman itu ialah, mereka terlalu jujur. Mereka tidak berharap pujian dan sanjungan, tak pandai menghukum, tak tahu cari publisiti. Kejujuran mereka menatijahkan sangka buruk orang terkemudian terhadap diri mereka.

Aku malas nak tulis tentang bagaimana amalan mandi Safar diguna untuk menghentikan amalan syirik sembah pokok. Bagaimana baca al-Quran di kubur menghentikan amalan puja kubur. Bagaimana wirid kuat selepas solat mengumpulkan kaki sabung ayam dan taik judi di surau bersama tok guru.

Bagaimana pelbagai selawat yang disusun menghentikan kaki jampi merapu daripada merapu, bagaimana baca Yasin malam Jumaat menatijahkan kecintaan kepada al-Quran, dan banyak lagi. Kita perlu berada pada masa mereka dan di tempat mereka untuk memahami mereka.

Ya, semua amalan yang aku sebut seperti baca al-Quran di kubur, walaupun aku sebut diguna oleh tok guru pondok, tak semestinya aku setuju. Cuma aku sebut, put your feet in their shoes and put your head in their tent. Selepas itu baru kita faham, mengapa semua itu mereka buat.

Adapun tok guru pondok zaman ini yang kadang-kadang terlajak perahu, berundurlah. Contohilah hikmah (akhlak, kesabaran dan ketekunan) tok guru pondok zaman dulu. Sekian kuliah selepas letih angkut batu. Wa billahi al taufiq.