DUPP mahu agensi agama, NGO Islam di barisan hadapan perkasa Mahkamah Syariah

DUPP mahu agensi agama, NGO Islam di barisan hadapan perkasa Mahkamah Syariah

Dewan Ulamak Pas Pusat berharap Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan agensi agama  berada di barisan  hadapan bagi menyokong usaha-usaha dirintis Pas ke arah pelaksanaan  syariah  lebih menyeluruh di negara ini seperti terkandung dalam usul diluluskan sebulat suara pada muktamar  parti itu hari ini.

 

Dewan Ulamak Pas Pusat berharap Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan agensi agama  berada di barisan  hadapan bagi menyokong usaha-usaha dirintis Pas ke arah pelaksanaan syariah lebih menyeluruh di negara ini seperti terkandung dalam usul diluluskan sebulat suara pada muktamar  parti itu hari ini.

Agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Mufti, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) disaran mengambil tanggungjawab menerangkan kepada masyarakat kewajiban pelaksanaan syariah.

Tuntutan itu terkandung dalam usul dilulus Dewan Ulamak Pas Pusat pada muktamar kali ke-55 di Sweet Beach Resort,  lapor Harakah online hari ini.

Usul tersebut dilulus sebulat suara tanpa sebarang perbahasan perwakilan.

Naib Ketuanya Datuk Dr Johari Mat berkata muktamar juga berharap Pas Pusat mengadakan siri-siri dialog dengan parti-parti politik bukan Islam dan organisasi masyarakat lain supaya memahami usul pindaan Akta 355.

Muktamar kali ke-55 juga berharap diwujudkan task force terdiri daripada Lajnah Parlimen, Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah bagi menerangkan kepada ahli-ahli parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri bagi memahami hasrat pindaan Akta 355.

“Usul memperkasakan Mahkamah Syariah dibuat memandangkan kedudukan Mahkamah Syariah masih lagi berada di tahap rendah berbanding mahkamah sivil dari aspek bidang kuasa di negara ini.

“Malah perkara itu juga dizahirkan Yang di-Pertuan Agong ketika menyampaikan titah pembukaan sidang parlimen pada 7 Mac lalu,” katanya ketika membentang usul tersebut pada hari akhir muktamar petang ini.

Pada 26 Mei lalu Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang usul berkaitan rang undang-undang persendirian bagi memohon kelulusan parlimen untuk meminda Akta 355.

Dr Johari yang juga anggota Dewan Negara berkata pindaan akta tersebut bukan kaitan dengan hudud sebagaimana digembar gemburkan.

“Kita pun hairan apabila disebut hudud ramai yang takut, sedangkan ia tiada kaitan dengan pihak lain. Lagi pun kita tidak pernah mengganggu agama lain,” katanya.

Muktamar juga melulus usul mengadakan program perkaderan yang dibentang wakil Dewan Ulamak Perak, Ustaz Sidek Noor dan disokong wakil Terengganu Nik Mohd Nasri Nik Malek.

Manakala usul yang diterima tanpa dibahas dibawa Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan iaitu mengadakan kursus kefahaman perlembagaan Pas, kebersihan, keceriaan Pejabat dan keselamatan Pejabat Agung.

TAGS