Duta China jumpa Robert Kuok bincang hubungan dua hala

Duta China dan Robert Kuok berbincang untuk kepentingan hubungan dua hala.

Duta China ke Malaysia Bai Tian menemui anggota Majlis Penasihat Kerajaan Robert Kuok berhubung kerjasama China-Malaysia pada masa depan.

Pada pertemuan selama satu setengah jam itu, Bai Tian bercakap mengenai sumbangan Kuok kepada pembangunan Malaysia dan perkembangan hubungan China-Malaysia, lapor Bernama.

“Kami berharap beliau akan terus menyumbang kepada pembangunan kerjasama China-Malaysia pada masa depan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kedua-duanya bersetuju bahawa kerjasama yang mesra akan menjadi kepentingan asas kepada kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Bai Tian dan Kuok percaya Malaysia, sebagai sebuah negara yang penting di sepanjang laluan sutera maritim abad ke 21 di bawah inisiatif Jalur dan Laluan, dijangka mendapat faedah daripada kerjasama yang saling memberi manfaat dan menang-menang dengan China.

“Mereka ingat hubungan dua hala yang baik semasa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebelum ini, dan yakin dalam tempoh kerajaan baharu, hubungan China-Malaysia akan mencapai kemajuan yang lebih baik,” katanya.