Malaysia Dateline

Duta Khas ke Timur Tengah perlu segera kemuka bantahan rasmi terhadap Israel

Selesai solat sunat Aidiladha pagi ini marilah kita mengenang nasib umat Islam Palestin yang senantiasa berhadapan dengan dugaan yang amat hebat secara berterusan.

Kita di Malaysia sudah setahun setengah berhadapan dengan berbagai PKP mengelak serangan Covid-19 sudah berasa begitu tertekan dan mengalami beban kewangan.

Cuba kita bayangkan seksa serta penderitaan puluhan tahun saudara kita umat Islam di Palestin terpaksa bergadai nyawa mengelak peluru dan bom serta kekejaman tekanan sekatan ekonomi daripada tentera Zionis Israel ke atas mereka.

Dahulu sebelum Raya Aidilfitri, pada malam-malam terakhir Ramadhan semasa umat Islam mencari malam Lailatulqadahr, umat Islam telah diserang dan diusir dari Masjidil Al Aqsa.

Kali ini pula satu malam sebelum umat Islam berkumpul di Arafah untuk ibadah Haji, sekali lagi umat Islam termasuk ramai wanita, diserang dengan peluru getah dan dihalau dari Masjidil Al Aqsa.

Sementara kekejaman serangan rejim Zionis Yahudi dan juga sekutunya bertambah hebat, sokongan diterima umat Islam Palestin dari negara Islam sendiri ketara makin berkurangan.

Negara Arab Saudi dan Mesir telah menjauhkan diri serta makin rapat dengan Israel, sementara negara negara Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan telah pun menjalini hubungan diplomatik dan perdagangan penuh dengan rejim Zionis Yahudi Israel.

Umat Islam Palestin makin terpencil dan bersendirian semasa mereka diasak dan dihalau rumah dan kampung mereka.

AMANAH telah mengeluarkan bantahan keras terhadap Israel pada petang Ahad yang sama serangan terbaru berlaku di Masjidil Al Aqsa.

AMANAH menggesa kerajaan Malaysia melalui Menteri Luar dan Duta Khas ke Timur Tengah mengeluarkan bantahan secepat mungkin atas kekejaman terbaru Israel memandangkan peristiwa tersebut berlaku pada hari yang mulia untuk umat Islam.

Kelewatan dan sikap berlengah-lengah kerajaan Malaysia mengeluarkan bantahan rasmi akan dilihat sebagai kurangnya solidariti serta sokongan dari rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Memandangkan ratusan ribu bendera Palestin yang dikibar oleh rakyat Malaysia di seluruh negara, rakyat Malaysia amat bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

Oleh itu, kerajaan Malaysia mestilah mencerminkan hasrat sebenar hati rakyat negara tanpa lengah lagi.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, sebagai Pengerusi Biro Antarabanga AMANAH, pada hari sama insiden berlaku telah pun mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Malaysia membuat bantahan rasmi.

Kami sangat berharap sekurang-kurangnya Duta Khas ke Timur Tengah melalui Wisma Putra membuat pendirian rasmi agar tidak menghampakan rakyat Palestin dan juga rakyat Malaysia yang sangat bersimpati dengan nasib umat Islam Palestin.