Malaysia Dateline

Duta, wakil duta dan keluarga berkampung tiga hari di Kedah

Antara Duta dan wakil mereka yang turut menyertai delegasi ke Kedah.

Seramai 42 delegasi yang terdiri daripada Duta, Wakil-Wakil Duta dan isteri mereka telah berkunjung ke negeri Kedah bagi menyertai program kunjungan yang bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka mengenali negeri tersebut dengan lebih dekat lagi.

Program ‘Familiarisation Visit For Diplomatic Corps’ tersebut bertujuan untuk memperkenalkan negeri Kedah sebagai salah satu destinasi pelaburan yang harus diberi perhatian oleh negara luar.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, setibanya rombongan tersebut mereka telah dibawa untuk mengunjungi Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang merupakan kawasan perindustrian yang sedang pesat membangun.

Selain itu mereka juga dibawa untuk menelusuri Sungai Merbok dan Tapak Arkeologi Sungai Batu yang penuh dengan sumber sejarah.

“Di samping itu rombongan delegasi tersebut akan turut dibawa untuk melawat beberapa tempat menarik di Alor Setar seperti Muzium Padi dan rumah kelahiran Tun Mahathir.

“Mereka juga kagum dengan lawatan ke KHTP dengan pelbagai kecanggihan yang disediakan di tapak perindustrian tersebut.

“Adalah diharapkan dengan pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan, ia akan berjaya untuk menarik minat pelabur-pelabur negara luar untuk melabur di sini bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” tegasnya.

Malah kata beliau lagi, lawatan tersebut merupakan sesuatu yang berprestij dari segi diplomatik setelah ia mendapat perhatian kedutaan asing yang sedang beroperasi di negara ini.

Antara Duta yang turut hadir dalam kunjungan selama tiga hari tersebut ialah duta dan Ketua Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez, Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal Hubert A.Gregoire serta Duta Ireland ke negara ini, Hillary Reilly.

Turut bersama ialah Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Prof. Dr Qaley Allahverdiyev serta Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok Yew.