Malaysia Dateline

Duta Zimbabwe kongsi memori indahnya di Malaysia

Duta Zimbabwe ke Malaysia Cuthbert Zhakata berkata pengajaran paling bermakna dipelajarinya sepanjang sembilan tahun berkhidmat ialah keharmonian yang wujud di kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama di Malaysia.

“Saya berharap keharmonian kaum di Malaysia dapat dikekalkan. Pengajaran paling berharga di Malaysia ialah rakyat pelbagai etnik berbeza hidup dalam harmoni…,” katanya kepada Bernama pada majlis perpisahan anjuran semua Duta Afrika dan Pesuruhjaya Tinggi berlangsung di Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Namibia di Titiwangsa, di sini baru-baru ini.

Beliau yang akan meninggalkan Malaysia pada hujung minggu nanti, berkata banyak kenangan manis di negara ini seperti keramahan rakan-rakan serta kelazatan pelbagai hidangan tempatan.

“Sudah tentu Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan…Saya telah mencuba semua … ‘Ikan bakar’, ‘nasi kukus’, ‘nasi beriani’dan ‘hokkien mee’…,” kata Zhakata yang akan bersara selepas 38 tahun berkhidmat.

Mengimbau memori peribadinya, Zhakata berkata pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah hari di mana beliau mempersembahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Zhakata berkata Malaysia dan Zimbabwe sentiasa bersahabat, terutamanya dengan sokongan yang diberikan ke atas negara ini di banyak forum antarabangsa.

“Malaysia sentiasa ada untuk kami dan pada masa sama sentiasa berusaha melatih rakyat kita melalui MTCP (Program Kerjasama Teknikal Malaysia). Kami mempunyai hubungan sangat baik dengan Malaysia,” katanya.

Pada Jun, Zhakata mengetuai Duta dan Pesuruhjaya Tinggi lain dari negara Afrika dalam dialog meja bulat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta ketua dan pegawai kanan agensi-agensi berkaitan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

— BERNAMA