Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad mahu kerajaan menurunkan harga kit ujian kendiri air liur kepada RM10.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan ujian kendiri Covid-19 ini menjadi salah satu alatan penting yang dimiliki orang ramai dalam keadaan negara memasuki fasa endemik.
“Saya mahu ‘testing saliva’ RTK benar-benar menjadi ‘the game changer’ dalam kita memasuki transisi endemik. Petama, ia mesti pertama murah, dan yang kedua, perlu mudah untuk kita beli.
“Dalam konteks ini, kalau boleh harganya kurang dari RM10 per kit. Kalau dapat RM5 lebih baik. Ini adalah untuk membantu rakyat,” katanya dalam sidang Parlimen hari ini.
Dzulkefly berkata, kit ujian kendiri akan menjadi peralatan penting untuk rakyat.
“Kalau contohnya kita mahu keluar rumah, ada rasa sikit tak sedap badan, bergejala dan sebagainya, segera kita buat sendiri ujian air liru. Andainya negatif, kita boleh keluar rumah,” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16.
Ia susulan berlakunya jangkaan peningkatan permintaan oleh orang ramai yang mempunyai kesedaran untuk melakukan ujian kendiri di rumah.