Dzulkifli beri keterangan siasatan pindaan Laporan Audit 1MDB

Dzulkifli beri keterangan siasatan pindaan Laporan Audit 1MDB

Bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang bersut hitam tiba di lobi utama kira-kira jam 10.25 pagi menaiki Nissan X-Trail hitam.

Beliau adalah antara individu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Beliau merupakan individu kedua yang dipanggil memberikan keterangan berhubung kes itu selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang telahpun dirakam kenyataan oleh SPRM semalam.

Menurut laporan Berita Harian, Arul Kanda dipercayai antara individu yang memainkan peranan penting dalam meminda laporan berkaitan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sumber kepada laporan itu berkata, selepas merakam segala maklumat dari pihak Arul Kanda selama tiga jam, SPRM berkemungkinan memanggil (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), esok bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pindaan laporan audit 1MDB.

“Kertas siasatan ini dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Loading...