Eaglexpress sedia khidmat penerbangan jemaah umrah Malaysia

Eaglexpress sedia khidmat penerbangan jemaah umrah Malaysia

Umat Islam yang mahu mengerjakan umrah tahun ini boleh mendapatkan alternatif dengan menggunakan penerbangan sewa khas dari Malaysia melalui pesawat Eaglexpress.

Pengerusi Eksekutif Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, dengan menawarkan perkhidmatan penerbangan ke Jeddah dan Madinah akan dapat mengurangkan jumlah penumpang jemaah umrah yang meningkat setiap tahun.

“Eaglexpress sejak dua tahun lalu telah bekerjasama dengan Alfajr Travel &Tours Sdn Bhd melalui konsain dengan kerajaan Arab Saudi yang membawa 50,000 jemaah umrah dalam dan luar negara.

“Kita mengunakan konsain Saudi Air dan Nas Air yang mengunakan khidmat sewa khas (charter) dengan pesawat dan krew Eaglexpress bagi tujuan membawa jemaah umrah dari Malaysia, negara Timur Tengah, Afrika dan Asia,” ujarnya dalam majlis pelancaran Eaglexpress dan jamuan hari raya semalam.

Baru-baru ini Eaglexpress telah mengalami kerugian AS$30 juta setelah  tidak dapat beroperasi selama lima bulan ekoran tidak memiliki Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) tetapi  dimaklumkan IOSA sudahpun diperoleh pada Mei lalu dan syarikat dibenarkan beroperasi semula.

Ia menjadikan Eaglexpress sebagai syarikat penerbangan ketiga di Malaysia memiliki IOSA selain Malaysia Airlines dan AirAsia X.

Sejak ditubuhkan pada 2012 Eaglexpress memiliki empat buah kapalterbang jenis Boeing 747, mempunyai 400 kakitangan pelbagai peringkat termasuk 36 juruterbang dan krew.

Haji Osman AhmadPengarah Urusan Alfajr Travel & Tour Osman Ahmad pula berkata, dijangkakan sebanyak 54 penerbangan akan diuruskan oleh syarikatnya untuk membawa sejumlah 25,000 jemaah umrah bermula pada November hingga Mei tahun hadapan melibatkan 54 penerbangan ke Jeddah dan Madinah.

“Setakat hari ini hampir separuh kerusi sudah ditempah dan kita menjangkakan tempahan akan berterusan sehingga akhir penerbangan dilakukan.

“Apa yang istimewanya menaiki Eaglexpress kita berikan kepada jemaah umrah potongan harga tiket,” ujarnya.

Difahamkan bagi jemaah umrah dari Malaysia harga tiket bagi menaiki pesawat Eaglexpress adalah RM2,850 seorang pergi-balik sama ada dari KL ke Jeddah atau KL-Madinah.

Bagi penumpang yang membuat tempahan lima orang ke atas potongan harga tiket juga akan diberikan dan penumpang juga boleh membuat sebarang perubahan tarikh penerbangan dalam tempoh 48 jam.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd Razif Syed Yassin berkata,  industri perkhidmatan pesawat khusus bagi menunaikan umrah kini dimonopoli bukan Islam.

Datuk Syed Mohd Razif Syed YassinJusteru katanya, dengan kerjasama dilakukan oleh Eaglexpress dan Alfajr Travel and Tours akan mengurangkan peranan orang tengah untuk mengawal harga tiket penerbangan.

“Apa yang kita lihat di negara ini banyak syarikat penerbangan luar yang terbang ke Arab Saudi. Terdapat dua cara untuk menerbangkan jemaah umrah ke Arab Saudi iaitu melalui dua lapangan terbang di Jeddah atau Madinah. Satu lagi dengan menerbangkan jemaah melalui negara lain sebelum dapat meneruskan penerbangan ke Jeddah dan Madinah.

“Dalam dua situasi ini berlaku peranan orang tengah untuk mengenakan harga tiket yang lebih tinggi terhadap jemaah umrah dan agensi pengembaraan yang kerap kali tidak dapat menjual tiket dengan harga berpatutan sebaliknya terpaksa menjual harga tiket yang tinggi kerana berurusan dengan pihak kedua atau ketiga,” ujarnya.

Bagi mana-mana agensi dan jemaah umrah yang mahu mendapatkan perkhidmatan pesawat Eaglexpress boleh mendapatkan harga tiket berpatutan yang diuruskan oleh Alfajr Travel & Tours Sdn.Bhd di talian 03-61277790/91/92 pada waktu pejabat.