EAIC  akan siasat seorang tahanan mati dalam lokap

EAIC akan siasat seorang tahanan mati dalam lokap

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menjalankan siasatan serta merta berhubung kematian seorang tahanan, S. Balamurugan ketika dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara, semalam.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan pertugas mengikut peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta EAIC 2009 (Akta 700) bagi menjalankan siasatan kes itu.

Katanya, antara skop siasatan ialah untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai polis semasa mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut.

“Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, siasatan juga mencakupi kaedah untuk menentukan dan mengenal pasti bagaimana serta mengapa salah laku itu terjadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, media melaporkan, mangsa berumur 44 tahun telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi, iaitu tiga hari selepas ditahan di IPD berkenaan.

Menurut ahli keluarga mangsa yang membuat pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), muka mangsa mengalami lebam yang teruk dan berdarah.

Mangsa juga turut mengalami pendarahan yang sama di mulut dan muntah darah ketika dibawa ke mahkamah untuk direman pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, kenyataan oleh peguam yang mewakili keluarga mangsa, Gerard Lazarus, meskipun ahli keluarga telah memohon untuk mendapatkan rawatan segera di hospital, mangsa tetap dibawa untuk penahanan semula di IPD tersebut.

Mengulas lanjut, Yaacob berkata, EAIC memandang serius kejadian itu susulan daripada kematian tahanan di IPD Bera, Soh Kai Chiok pada 18 Januari lalu.

“Dengan ini, siasatan akan dijalankan dengan telus, bebas prejudis dan tidak sama sekali berpihak kepada sesiapa,” katanya.

TAGS