Salah laku polis wajar dihukum, tegas EAIC

Salah laku polis wajar dihukum, tegas EAIC

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyambut baik pendakwaan jenayah oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap tiga anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur semasa dalam tahanan polis di Kota Tinggi, Johor pada  3 November 2014.

Tiga anggota polis itu didakwa di bawah seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan kes tersebut telah dipanggil di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 16 Ogos 2016 dan disambung bicara pada 17 Ogos 2016.  

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga anggota tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
 
Menurut Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam, pihaknya pada 30 Oktober 2015 telah mengumumkan dapatan siasatan kematian Syed Mohd Azlan semasa dalam tahanan polis.

EAIC jelas beliau, mendapati kematian Syed Mohd Azlan mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], EAIC telah mengesyorkan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) bagi pendakwaan jenayah dibawa terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati telah melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenal pasti di dalam laporan penuh siasatan ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sehubungan ini, Yaacob mengalu-alukan Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) PDRM untuk mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang telah dikenal pasti melakukan salah laku.

Salah laku anggota PDRM ini, ujarnya boleh didapati dalam laporan penuh EAIC.

“Untuk mendapatkan butiran lanjut kandungan laporan siasatan ini orang awam boleh mengakses laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my,” ujar Yaacob.