Malaysia Dateline

Ebit Lew akan jawab tuduhan ke atasnya, keluarkan semua bukti esok

Pendakwah terkenal Ebit Lew akan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya esok berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Ebit berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi berkenaan dakwaan isu berkenaan.

“Esok saya akan terangkan, kerana tuduhan ini sangat menyedihkan saya dan keluarga.

“Saya memang tidak mahu bergaduh dengan sesiapa, memandangkan ramai yang nak tahu cerita sebenarnya saya akan terangkan esok,” kata beliau yang kelihatan tenang dengan mengenakan jubah warna koko muda.

Ebit menegaskan segala tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar dan menganggap ia adalah fitnah semata-semata.

“Saya ada bukti segalanya walaupun saya kena tuduh, saya akan keluarkan bukti-bukti. Sepatutnya orang yang tuduh keluar bukti, tapi saya yang akan keluarkan bukti.

“Saya niat nak tolong orang dan saya pergi pun dengan duit sendiri, tidak pernah buka satu tabung pun untuk Gaza ini,”katanya.

Ketika ditanya adakah bayaran $1200 (RM5,090.40) seorang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza guna duit sendiri, Ebit pantas menjawab beliau guna duit sendiri dan segala perbelanjaan di sana menggunakan duitnya sendiri.

Beliau mengambil sikap mendiamkan diri sejak isu ini dibangkitkan oleh Caprice dan Nadir Al-Nuri kerana tidak mahu isu ini berpanjangan .

“Tetapi apabila anak, isteri dan keluarga saya termasuk keluarga tim saya menangis dan bersedih saya mengambil tindakan melaporkan polis hari ini,” katanya.

Di dalam laporan polis beliau turut menyebut nama Nadir, Caprice dan beberapa individu yang menular kenyataan tuduhan itu.

Ebit yang tiba jam 6.16 petang menaiki Toyota Vellfire dengan diiringi tiga pikap.

Hari ini, rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.