Malaysia Dateline

Ebit Lew sedih, diarah hentikan misi bantuan di Semporna

Pendakwah bebas, Ebit Lew memaklumkan terpaksa menghentikan segala misi bantuan ke pulau-pulau di Semporna, Sabah selepas menerima arahan untuk bertindak sedemikian, selain diberitahu boleh dikenakan hukuman.

Ekoran arahan berkenaan, Ebit berkata, beliau juga terpaksa menangguhkan rancangan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan untuk masyarakat di sana.

“Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

“Pagi ini saya dimaklumkan tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna. (Mereka) minta berhentikan bantuan di sekitar sini.

“Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun,” katanya dalam satu catatan Facebooknya hari ini.

Ebit juga memberitahu beliau sudah pun membeli barangan seperti kayu bagi pembinaan pusat pendidikan tersebut, namun tidak kesampaian dan memohon maaf apabila segala proses terpaksa dihentikan.

“(Ini) bukan sekolah saya. Tiada caj. Lebih kepada tempat nak (buat) aktiviti dan pendidikan. Sebab dekat sana tiada tempat untuk buat begitu.

“Dari bot je bagi bantuan. Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ye ustaz dan ustazah semua,” katanya lagi.

Ketika ini, Ebit dalam misi bantuan kemanusiaan selama 10 hari ke beberapa kawasan di Sabah.

Tambah Ebit dalam catatannya, beliau kini sedang menanti penerbangan untuk Tawau bagi meneruskan misi bantuannya.

“Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji. Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah,” tulisnya lagi.