Malaysia Dateline

Ebit Lew didakwa hari ini dengan 11 pertuduhan

Pendakwah dan dermawan terkenal, Ebit Lew, hari ini dihadapkan di mahkamah Tenom, Sabah dipercayai membabitkan 11 pertuduhan, termasuk berkaitan gangguan seksual.

Ebit, 37, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire, ditemani sekumpulan individu lain.

Sementara itu, pekarangan Pejabat Daerah Tenom turut dikawal pihak polis sejak awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, turut dijadualkan membuat sidang media berhubung kes itu selepas selesai proses pertuduhan terhadap Ebit.

Difahamkan, Ebit kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal.

Sebelum ini siasatan terhadap Ebit dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober lalu, dan antaranya beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.