Malaysia Dateline

Ebit Lew sayu tengok budak darjah 3 kutip besi dekat tong sampah di Pasir Puteh Kelantan

Pendakwah terkenal Ebit Lew begitu sayu melihat satu video yang memaparkan seorang budak darjah 3 sedang mengutip besi buruk dan tin di tong sampah berdekatan sekolah Tok Janggut Pasir Putih Kelantan.

Ebit yang bukan sahaja pendakwah malahan seorang dermawan yang menunaikan janji pada saat dan ketika itu juga kepada sesiapa yang memerlukan bantuan wang, tempat tinggal, kenderaan, atau alatan perniagaan.

Kali ini Ebit berkongsi kisah seorang budak yang membantu ibunya mencari wang sejak darjah satu lagi, kerana menyedari keperitan ibunya mencari nafkah bagi menyara mereka sekeluarga.

Ikuti kisah Ebit yang menyantuni keluarga budak ini baru-baru ini.

Sayu sangat rasa masa ada orang bagi video adik ini di Pasir Puteh Kelantan tengah cari besi dan tin dalam tong sampah dekat sekolah Tok Janggut.

Baru darjah 3 tapi rajin cari duit untuk belanja sekolah. Semenjak darjah 1 dia sendiri cari besi dan barang terpakai untuk dijual.

Baik beradab adik ini. Muka bersih.

Masa sampai tadi adik ini dekat tong sampah tengah cari barang. Terus lari mulanya. Lepas itu saya panggil adik ini. Dia tak kenal pun saya.

Tengah anak kita pegang phone main game. Adik ini cari rezeki kutip besi dan lain-lain masuk dalam tong sampah.

Maknya kerja dengan orang tolong jual pisang. PKP ni sudah lama tidak bekerja. Baru-baru ini maknya tolong mandikan orang tua uzur sakit, dan di rumah buat ketupat.

Ayahnya sudah meninggal dunia masa adik ini berusia 8 bulan. 2 orang kakak dan abangnya ada kad OKU lembam. Mereka dapat bantuan JKM RM450 sebulan.

Masa sampai tadi saya beri sedikit duit untuk maknya. Maknya menangis. Katanya sepanjang hidupnya tidak pernah pegang duit banyak macam ini. Sedih rasa sebab tidaklah banyak saya bagi. Kakak tadi makin kuat menangis. Adik comel ini pun menangis.

Saya tanya akak hendak berniaga? Siang akak jual pisang dan kueh-kueh. Anak akak minat hendak jual burger. Malam biar dia jual burger ke.

Seorang anak akak ini 19 tahun rajin juga bekerja menolong orang.

“Saya belikan gerai dan payung untuk akak nak tak?”

Dia kata ada juga orang janji nak bagi. Tapi tak sampai-sampai lagi.

Saya terus ajak pergi ke Kota Bharu beli gerai dan semua dapur besar dan gas serta payung untuk meniaga.
Sedih sangat tengok keluarga ini. Baik sangat. Nampak keikhlasan dan kerajinan mereka.

Saya dimaklumkan ramai sangat jiran, masyarakat dan masjid membantu dan selalu memberi sokongan buat keluarga ini. Semoga menjadi asbab kebaikan dan diluaskan rezeki akak ni ye.