ECRL ancam Empangan Batu?

ECRL ancam Empangan Batu?

Shariffa Sabrina Syek Akil

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut melibatkan kawasan utara Selangor dibimbangi mengancam Empangan Batu apabila dibina berdekatan dengan kawasan tadahan air di Gombak itu.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil berkata, empangan itu mempunyai kapasiti lebih 30 juta liter air untuk bekalan kepada penduduk sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya cadangan projek dengan kerjasama sebuah syarikat gergasi dari China itu kerana dikhuatiri memusnahkan ekosistem alam sekitar termasuk habitat haiwan.

Untuk rekod, PEKA telah menghantar surat bantahan pembinaan ECRL bernilai RM55 bilion itu bagi peringkat Fasa Satu pada 6 Jun 2017.

Empangan Batu yang dibina pada tahun 1984 dan siap tiga tahun selepas itu dengan kos RM20 juta terletak di hilir Sungai Batu dan Sungai Tua, Gombak kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Berkeluasan 50 kilometer persegi, Empangan Batu menyalurkan air kepada tiga juta penduduk di Lembah Klang pada setiap hari serta pada masa sama berperanan besar memastikan banjir di Kuala Lumpur terkawal.

Menurut Shariffa, beliau turut difahamkan pembinaan terowong untuk projek ECRL akan melalui penempatan penduduk di Taman Jasa Utama dan Jasa Perwira yang terbabit dengan pengambilan tanah bagi jajaran di Selangor.

Logo PEKA

“Saya rasa projek mega ini tidak betul kerana kawasan tadahan air lebih penting daripada apa-apa pembangunan yang menyebabkan kerosakan.

“Kami membantah sekeras-kerasnya projek mega ECRL dan akan terus berkerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tree.

“Usah terlalu bangunkan muka bumi ini kerana itu adalah kawasan tadahan air dan khazanah kita,” dipetik daripada laporan khas akhbar Sinar Harian hari ini.

Kerajaan melantik Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai pemilik aset dan pengendali ECRL sejauh 688 kilometer itu.

Kerajaan dikatakan mendapat pinjaman mudah sebanyak RM55 bilion daripada EXIM Bank China tetapi lapor Sarawak Report pada Julai 2016, kos sebenar projek ECRL hanya RM27 bilion.

Peta jaringan ECRL merentas Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sehubungan itu, ECRL dianggap projek rel keretapi paling mahal di dunia mengatasi projek Yichang-Wanzhou Railway sepanjang 377 kilometer yang dikatakan paling sukar pernah dibina di China.

ECRL antara perjanjian yang ditandatangani Perdana Menteri di Beijing pada 1 November 2016 merangkumi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd, CCCC dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM).

Projek mega tersebut juga diberi tanpa tender terbuka kepada China Communications Construction Company (CCCC) yang mempunyai rekod masalah dengan Bank Dunia.

Majlis pecah tanah ECRL di Kuantan pada 9 Ogos 2017 mengundang kritikan apabila menonjolkan ciri China termasuk pemasangan kain rentang visi syarikat tanpa bahasa kebangsaan.

2.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 4.0
CATEGORIES