Malaysia Dateline

ECRL: Jelebu bakal jadi destinasi pilihan untuk didiami

Selain daerah Seremban dan Port Dickson yang kini pesat membangun dan mempunyai akses jaringan jalan raya dan pengangkutan awam yang cukup baik, kini tiba masanya masyarakat melihat kepada potensi yang dimiliki daerah Jelebu yang dijangka akan turut membangun dalam beberapa tahun akan datang.

Pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion oleh kerajaan pada 25 Julai lepas dengan sebuah daripada stesennya akan dibina di daerah ini, akan membolehkan kawasan yang cukup terkenal dengan ‘syurga durian dan nanas’ itu membangun, sama seperti yang dikecapi Seremban dan Port Dickson.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang Bakri Sawir cukup yakin kawasan yang diwakilinya itu amat sesuai untuk didiami oleh masyarakat luar berikutan memiliki prasarana yang lengkap dan dengan adanya ECRL, beliau berkata ia boleh dijadikan sebagai pengangkutan awam utama kepada mereka, selain kenderaan persendirian.

“Kita lihat adanya orang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Nilai atau Seremban sebab adanya sistem pengangkutan awam yang baik seperti komuter dan lain-lain. Jadi, andainya ERCL masuk ke Jelebu ini, orang yang kerja di Kajang, Selangor atau Kuala Lumpur boleh tinggal di sini dan berulang alik,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

DUN Klawang, terletak ditengah-tengah Parlimen Jelebu, merupakan kawasan yang menempatkan pelbagai pejabat agensi dan jabatan kerajaan dan merupakan ‘nadi’ bagi daerah itu.

Bagi menjadikan DUN Klawang sebagai destinasi ketiga yang sesuai untuk didiami warga di luar Negeri Sembilan, Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan berkata perancangan pembangunan secara holistik dan teliti di kawasan itu amat diperlukan.

“Kita mempunyai tanah seluas lebih kurang 10 ekar (empat hektar) dan boleh menempatkan lebih 200 rumah kos rendah di DUN Klawang. Apabila ada perumahan sedemikan yang boleh dimajukan di kawasan ini, ia akan membolehkan penduduk tinggal selesa di sini terutama bagi sesiapa yang ingin mencari ketenangan memandangkan Jelebu dikelilingi hutan khatulistiwa yang menghijau dan udara yang segar,” katanya.

Katanya pembinaan stesen ECRL di daerah ini bukan sahaja dapat meningkatkan bilangan penduduk di DUN Klawang, namun pertambahan penduduk juga dijangka akan memberi kesan terhadap pertumbuhan sektor ekonomi setempat yang sebelum ini dilihat suram.

“Apabila diumumkan ECRL akan dibina di Jelebu, saya telah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook supaya stesen yang dibina nanti, akan ada kemudahan kargo bagi memudahkan penghantaran produk siap dan barangan mentah dari Jelebu terus ke Pelabuhan Klang, Selangor dan sebagainya.

“Ia secara tidak langsung juga boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Jelebu selain boleh menjadikan Jelebu ini sebagai pusat pengumpulan produk hiliran seperti durian dan nanas serta produk pertanian yang lain,” katanya.

Bakri berkata walaupun Jelebu merupakan kawasan pertanian, tidak mustahil suatu masa nanti kawasan berkenaan boleh menjadi kawasan perindustrian, dan terus membangun.

Loke pada 16 Jun lepas dipetik sebagai berkata beliau yakin projek ECRL mampu menarik minat pelabur untuk membangunkan kawasan perindustrian di Jelebu, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan laluan baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.