Malaysia Dateline

ECRL: Keputusan rasmi kabinet minggu depan, kata Lim Guan Eng

Kabinet akan mengumumkan kenyataan rasmi mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM81 bilion pada minggu depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ketika menegaskan perkara itu hari ini, beliau turut menyifatkan pengumuman berkaitan sewajarnya dibuat dalam bentuk kenyataan bertulis kerana membabitkan sebuah projek mega.

“Maklumat mengenai projek itu akan diumumkan minggu depan dan saya berharap pihak media tidak memperbesarkannya…sila tunggu kenyataan rasmi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Malah, kata Lim, pihak kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia juga telah dimaklumkan mengenai tarikh pengumuman rasmi mengenai ECRL tersebut.

Akhbar ‘The Straits Times’ Singapura baru-baru ini melaporkan bahawa Malaysia kini dalam proses mencari kontraktor baharu bagi menerajui projek ECRL selepas membatalkan kontrak yang diberi kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Laporan yang memetik sumber itu berkata, Putrajaya juga berusaha untuk mengurangkan kos projek mega itu sehingga separuh daripada kos awal yang dianggarkan RM81 bilion.- BERNAMA