Malaysia Dateline

ECRL: Kerajaan diseru pertimbang kuota 20 peratus kontraktor bumiputera

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diseru untuk memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Mokhtar Samad berkata, terdapat kira-kira 42,000 kontraktor bumiputera yang berkepakaran dan berkemahiran tinggi boleh melakukan pelbagai kerja-kerja awam projek tersebut.

Menurutnya, kontraktor bumiputera sukar bersaing atau berkongsi dengan syarikat tempatan lain tanpa kuota tersebut.

“Apa salahnya jika 40 peratus kuota penglibatan syarikat tempatan Malaysia dalam projek ini perlu melibatkan 20 peratus kontraktor bumiputera? Persatuan kontraktor minta wujud kuota khas kepada kontraktor bumiputera.

“Ini permintaan logik dari persatuan, saya percaya, kerajaan baharu ini lebih prihatin kepada kontraktor Bumiputera,” katanya dipetik dari Bernama hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil antara kepakaran tinggi di dalam portfolio kontraktor tempatan yang perlu diberi perhatian kerajaan dan juga pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Untuk rekod, projek ECRL disambung semula pembinaannya dengan jajaran baharu melibatkan penguarangan jarak landasan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pada 12 April.

Mengulas lanjut, Mokhtar memberitahu pihaknya juga telah menemui pihak MRL baru-baru ini bagi meminta kerja-kerja pembangunan ECRL itu diberi keutamaan kepada kontraktor bumiputera.

Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada kerajaan supaya tarikh tutup penyerahan pratender kerja-kerja awam ECRL dilanjutkan kepada tiga minggu lagi berbanding tarikh asal iaitu pada 30 Mei ini ekoran musim perayaan Aidilfitri.