ECRL: Kerajaan tidak harus lupakan pembangunan dan ekonomi rakyat di Bentong

ECRL: Kerajaan tidak harus lupakan pembangunan dan ekonomi rakyat di Bentong
Young Syefura Othman mahu kerajaanBentong tidak ketinggal dari segi pembangunan dan ekonomi rakyat. Foto Malaymail.

Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberikan perhatian wajar kepada pembangunan di Bentong, Pahang selepas kerajaan memutuskan jajaran baharu bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman berkata dengan penjajaran semula laluan ECRL menyebabkan tiada lagi laluan dan stesen ECRL di Bentong dan pasti keputusan ini menimbulkan kekecewaan dikalangan warga Bentong yang mendambakan pembangunan dan kemajuan ekonomi di kawasan mereka.

Hikmah daripada keputusan ini, Bentong dapat mengekalkan keunikan sebagai kawasan hijau dan lokasi pelancongan dan pertanian utama negara. Gunung, bukit, hutan dan sungai di kawasan Bentong akan terpelihara daripada kerosakan dan bencana yang melibatkan alam dapat dielakkan.

“Sebagai wakil rakyat di salah satu Dun di bawah Bentong, saya ingin memohon bahawa keputusan ini tidaklah berakhir tanpa galang-ganti.

“Sebagai sebuah kawasan yang sangat berhampiran dengan ibukota Kuala Lumpur dan pintu masuk kepada negeri-negeri Pantai Timur, Kerajaan Pusat perlu memberi perhatian yang wajar kepada pembangunan di Bentong.

“Saya mendesak bahawa penjimatan berpuluh billion daripada penjajaran semula laluan ECRL daripada Bentong digunakan untuk projek-projek pembangunan infrastruktur lain di kawasan Bentong,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Young Syefura yang juga Penolong Setiausaha DAP Kebangsaan turut memberikan 4 sebab keperluan bagi warga Bentong menikmati pembangunan sosio-ekonomi selepas ketiadaan ECRL.

Beliau berkata, mewakili warga Bentong mahukan pembinaan stesen ECRL di Pelangai, Bentong.

“Pelangai, salah satu Dun di bawah Parlimen Bentong yang sangat memerlukan infrastruktur pengangkutan yang sangat mendesak. Semua sedia maklum bahawa jalan perhubungan ke Pelangai yang seperti ular menyukarkan perhubungan penduduk dan menyekat potensi kegiatan ekonomi di kawasan mereka.

“Tentunya kos pembinaan stesen di Pelangai yang merupakan dalam laluan ECRL antara Jelebu dan Mentakab adalah lebih kecil dan sangat wajar.

“Keduanya menghapuskan tol Lebuhraya Karak dengan secepat mungkin. Ini merupakan salah satu janji utama oleh Pakatan Harapan di Bentong semasa PRU14. Sudah tentulah penjimatan berpuluh billion daripada penjajaran semula laluan ECRL adalah lebih kecil berbanding dengan kos mengambil alih konsesi tol Lebuhraya Karak.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos pengangkutan bagi warga Bentong malah dapat menggalakkan kegiatan ekonomi yang berasaskan perlancongan dan pertanian di Bentong.

“Ketiga keperluan penambahbaikan dan pelebaran laluan jalanraya Lebu-Mempaga-Sertik. Sudah bertahun lamanya penduduk di kawasan ini menginginkan jalanraya yang selesa dan selamat untuk kegunaan mereka.

“Keadaan jalan yang teruk telah menambah risiko kemalangan yang telah mengakibatkan banyak kehilangan nyawa. Jalan ini merupakan jalan utama bagi 3 kawasan Dun di bawah Parlimen Bentong iaitu DUN Bilut, Ketari dan Sabai.

“Dan keempatnya keperluan menyegerakan projek laluan ‘bypass’ Central Spine Road (CSR) di kawasan Bentong. Projek ini yang sudah dimulakan bertahun lalu masih belum siap dan mengalami kelewatan.
“Projek ini sangat penting bagi warga Bentong kerana ia dapat mengurangkan kesibukan trafik di dalam kawasan Bentong terutamanya pada waktu hujung minggu dan musim cuti perayaan,” terangnya.

Justeru beliau mengharapkan Kerajaan dapat mempertimbangkan kesemua permintaan dan harapan seluruh warga Bentong.

“Ubatilah kedukaan kami seluruh warga Bentong dengan memberi peluang pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sewajarnya kepada Bentong,” ujarnya lagi.

Kerajaan mengumumkan jajaran baharu ECRL itu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.Manakala hentian Gombak akan dibatalkan pembinaannya.

Ini susulan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan CCCC menandatangani Perjanjian Tambahan (SA) pada Jumaat lalu yang membuka jalan bagi pemulihan projek ECRL.

Kerajaan  kerana telah berjaya meneruskan Projek Laluan Rel Pantau Timur (ECRL) yang dapat menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat dengan penjimatan kos projek sebanyak RM21.5 billion dan penjimatan kos faedah sebanyak RM12.4 billion.